HomeMV+Bongkar'Toyol' tanah Yap Kwan Seng

‘Toyol’ tanah Yap Kwan Seng

SEMENYIH: Seorang lelaki bernama Omar Mohamad Unni mengadu kepada MEDIA VARIASI tentang kehilangan tanah kurniaan Sultan Selangor (Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj) kepada arwah bapanya pada tahun 1951 di lot 189 Jalan Yap Kwan Seng.

MEDIA VARIASI menerima segala dokumen berkaitan dan membuat analisis kewartawanan mengenai misteri kehilangan tanah Melayu ini.

Ia sebenarnya berpunca daripada ‘toyol’ tanah. Toyol di alam Melayu dikenali sebagai makhluk suka mencuri tapi tidak dapat dilihat oleh mangsanya dan setiap toyol pastinya tidak bersendirian, ada tuan yang menjadi perancang dalam misinya.

Berita berkaitan: ‘Toyol’ tanah tukar tiga penama dalam sehari

‘Toyol’ tanah Yap Kwan Seng ini telah menyebabkan kerugian masa dan jutaan ringgit kepada pemilik asal dan juga konglomerat hartanah iaitu Exsim Development Sdn Bhd yang dipercayai terpedaya memajukan residensi di atas tanah itu.

Omar, waris tanah Lot 189 Jalan Yap Kwan Seng, ketika temu bual eksklusif bersama Media Variasi di Semenyih.

Omar mendakwa, pada 31 Mac 1965, toyol-toyol ini menerobos Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor menukar nama pemilik asal Mohammad Unni kepada nama mantan Menteri Besar Selangor (1955-1956), Allahyarham Datuk Dr Abd Aziz Majid tanpa merujuk kelulusan permohonan atau dokumen AA 1/62.

Nama tanah itu kemudiannya dipindahkan kepada isteri Abd Aziz, Raja Teh Zaitun pada 4 November 1965.

Untuk makluman, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya wujud pada 1 Februari 1972 dan ada kawasan-kawasan yang dipisahkan dari Selangor pada 1 Februari 1974.

Dengan kata lain, tanah kurniaan Sultan Selangor di Jalan Yap Kwan Seng sebelum ini di bawah Enakmen Tanah Negeri Selangor.

Berbalik kepada kegiatan toyol-toyol ini secara ajaibnya turut mempercepatkan proses tukar nama tanah berkenaan pada tarikh sama iaitu 4 Oktober 1996 kepada beberapa pihak.

Rupa-rupanya, bukan Omar seorang sahaja yang menjadi mangsa ‘toyol’ tanah ini, malah konglomerat hartanah kumpulan Exsim dipercayai turut menjadi mangsa pada peringkat awal penjualan tanah.

Selepas pemaju Exsim ini membeli tanah berkenaan, ia telah membina sebuah residensi mewah 59 tingkat, 600 unit namun gagal menyerahkannya kepada pembeli walau semua unit telah terjual.

Ini kerana syarat Sijil Perakuan Layak Menduduki (CF) bagi bangunan itu perlu menunjukkan geran asal pemilikan tanah namun pemaju gagal mendapat CF.

Kenapa gagal mendapat CF? Kerana pemaju tidak ada dokumen sah berikutan pemilik asalnya adalah Omar.

Berita berkaitan: ‘Toyol’ tanah tukar tiga penama dalam sehari

Omar hanya menyedari tanah warisan keluarganya sudah bertukar milik setelah mencari dokumen di Pejabat Tanah dan Galian (PTG), dan mendapat fakta mengejutkan sehingga membawa kepada misi memperjuangkan hak mereka bermula pada 2003.

Sejak dari itu, Omar telah kerugian masa 19 tahun dan ratusan ribu wang ringgit termasuk kos guaman, pergi balik ke PTG serta seluruh tempat difikirkan wajar bagi mendapatkan dokumen sokongan sebagai bukti yang boleh membantu usaha beliau.

Bagaimanapun, selepas waris mula menuntut, ‘toyol’ ini dipercayai menjualnya kepada mana-mana pemaju yang berminat.

Difahamkan, syarikat berminat, Suriamas membeli tanah berkenaan di bawah nilai harga pasaran sebenar iaitu RM33 juta berbanding nilai sebenar, RM90 juta.

Persoalannya, siapa toyol tanah ini? Toyol ini adalah pihak yang mengetahui adanya permintaan terhadap tanah itu untuk tujuan pembangunan.

Berapa banyak toyol yang terlibat? Lebih daripada satu toyol.

Menurut Omar, modus operandi toyol berkenaan termasuk pihak di PTG, pihak di firma guaman, ada toyol di pejabat pemaju dan lain-lain.

Toyol tanah ini menyamun secara berkumpulan mula-mula menyamun pemilikan tanah bernilai tinggi khususnya di segitiga emas bandaraya.

MEDIA VARIASI turut difahamkan sudah banyak tanah Melayu di segi tiga emas ini tergadai dengan modus operandi sama.

Selepas itu, toyol ini mencari siapa yang sanggup membeli dengan harga mahal? Tentulah syarikat konglomerat yang mampu membeli dengan harga tinggi dan menyedari pemilik asal ada kekangan kewangan untuk menuntutnya secara undang-undang.

Apa modus operandi toyol tanah Yap Kwan Seng ini? Sila ikuti siri kedua di MEDIA VARIASI

Berita berkaitan: ‘Toyol’ tanah tukar tiga penama dalam sehari

Author

Pilihan Editor