HomeBeritaUMNO dah rosak, mengkayakan diri sendiri - Mahathir

UMNO dah rosak, mengkayakan diri sendiri – Mahathir

KUALA LUMPUR: Pengasas Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa UMNO sudah rosak dari atas hingga akar umbi kerana rasuah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah akan menyertai atau tidak Barisan Nasional selepas Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan.

Mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh menjelaskan beliau tidak akan sertai BN walau tanpa Najib kerana UMNO sudah musnah.

Katanya budaya UMNO apabila ditanya nak beri sokongan atau tidak, mereka akan tawar duit.

“Sebab itu negara sudah merudum dia tak kisah asalkan dapat wang, itulah UMNO sekarang, mereka mengkayakan diri sendiri.

“Semuanya about ‘money’ on their own they cannot win PRU. PRN boleh menang tapi PRU tak sama.

“Apabila saya keluar parti banyak bersetuju dengan saya tetapi mereka tak berani keluar sebab takkan dapat duit.

“Parti ini parti duit (UMNO) apabila Najib ada di dalam (penjara) mungkin tak boleh beri duit banyak-banyak sangat.

“Saya rasa dia (Najib) ada banyak duit, sebagai individu, kita tak oleh buat apa apa dengan UMNO ada yang baik dan ada yang sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan Himpunan Nasional 2022 di sini hari ini.

Himpunan itu dianjurkan oleh Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan turut hadir Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim.

Dalam pada itu Mahathir juga memberitahu, GTA itu berjaya menarik sokongan orang Melayu yang berwibawa dan bersih yang mengutamakan agama serta bangsa.

GTA juga berjaya menepis penyertaan pemimpin-pemimpin yang hanya mementingkan duit poket sendiri berbanding rakyat dan negara, katanya.

“Sebab itu GTA semakin hari semakin kuat dan saya percaya orang Melayu akan sedar serta memberi sokongan kepada gerakan ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Saya juga telah berjumpa kumpulan Melayu dan mereka sudi beri sokongan.

“Mereka juga kecewa dengan apa yang berlaku dalam negara, pemimpin sedia ada tidak bertanggungjawab dan hanya penting poket sendiri sahaja selain merosakkan perjuangan selamatkan negara yang yang dicetuskan pemimpin terdahulu.

“Sekarang kita perlu ganti orang (pemimpin) ini. Sebab itu kita tubuh GTA iaitu pergerakan perubahan orang Melayu yang sayangkan bangsa dan agama,” katanya.

Selain itu, kata Mahathir, penubuhan GTA yang disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu itu juga bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini

“Kaum lain tidak perlu takut walaupun GTA hanya melibatkan orang Melayu kerana kita melihat kejayaan gerakan ini akan memberikan khabar gembira kepada bukan Melayu juga,” katanya.

Author

Pilihan Editor