HomeBeritaWanita diancam buli siber tahap kritikal- Wanita MIC

Wanita diancam buli siber tahap kritikal- Wanita MIC

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy meluahkan kebimbangannya terhadap ancaman buli siber yang kritikal dalam kalangan wanita.

Beliau mengulas kes seorang pempengaruh popular media sosial dalam masyarakat India meninggal dunia ekoran tekanan dipercayai dari buli siber.

Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital meninggalkan tiga orang anak serta suami itu sebelum ini banyak menyentuh isu-isu masyarakat seperti persekolahan di rumah dan gangguan seksual.

Mendiang mempunyai jumlah pengikut seramai lebih 30,000 tidak disenangi segelintir netizen terutamanya dalam isu-isu sensitif.

Mengulas lanjut, Mohana berkata, sebelum kejadian itu, seorang lagi mangsa pertengahan usia juga telah bertindak sedemikian akibat tekanan emosi dan persekitaran.

“Wanita itu yang memiliki seorang anak perempuan cemerlang berjaya di Universiti AIMST tajaan MIC, sepatutnya ibunya gembira dengan bantuan itu namun kita tidak tahu sehingga kini mengapa beliau bertindak seperti itu sehingga dua-dua anaknya yatim piatu.

“Saya tidak punya statistik terkini pada masa ini tetapi cukuplah jika saya dapat katakan bahawa tragedi terutamanya akibat perbuatan buli siber ini semakin hari semakin kerap.

“Ini sungguh menakutkan kita semua. Wanita MIC sendiri menerima pelbagai aduan berhubung perkara ini.

“Sesuatu perlu dilakukan dan ini perlu dilakukan dengan kadar segera sebenarnya.

“Semakin lama semakin ramai wanita dalam kalangan usia pertengahan bertindak terburu-buru kerana tidak dapat menahan emosi atau tekanan mereka. Kasihan mereka sebenarnya.

“Seperti mana kita sudah mula mengenal pasti tentang isu ini, kita juga perlu mencari jalan penyelesaiannya secepat mungkin, tekanan perasaan dan kemurungan ini akhirnya menyebabkan seseorang membuat keputusan untuk menamatkan sahaja riwayat mereka dalam keadaan menyayat hati,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Mohana lagi, insiden buli siber ini berlaku hampir setiap hari.

“Buka sahaja ruangan komen di hantaran-hantaran tertentu yang menarik perhatian umum, komen jelik pasti akan ditemui dengan mudah.

“Tidak hairan atau mengejutkan sekiranya kes kemurungan atau lebih teruk lagi membahayakan diri dalam kalangan mangsa buli siber semakin kerap dilaporkan sehingga tidak lagi menimbulkan rasa hairan dalam diri masyarakat umum.

“Perbuatan ini mesti kita hentikan, saya tidak menuding jari kepada sesiapa sebaliknya kita perlu melakukan sesuatu bagi menyelamatkan golongan ini terus hanyut dengan emosi yang akhirnya menyebabkan mereka membuat keputusan membunuh diri.

“Selain kerajaan, persekitaran kita, keluarga, sahabat dan kawan sekerja juga perlu mengambil berat jika adanya golongan seperti ini, jangan ambil mudah atau tidak apa kerana walaupun dari segi luarnya kita tidak nampak seperti apa-apa tetapi apabila sesuatu buruk berlaku seperti nasi sudah jadi bubur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wanita MIC aktif dalam menangani isu-isu sedemikian malah telah menyediakan perkhidmatan kaunseling 24 jam seandainya mana-mana individu memerlukan bantuan.

Author

Pilihan Editor