HomeHiburanWings gegar Sarawak selepas 25 tahun

Wings gegar Sarawak selepas 25 tahun

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Setelah 25 tahun kumpulan rock legenda, Wings kembali mengegarkan Sarawak dengan persembahan lebih 15 buah lagu-lagu menggamit memori di pentas ‘Wings One Night Only Live In Kuching’ di sini semalam.

Walaupun mengalami masalah kesihatan, vokalis Wings, Datuk Awie tidak menghampakan peminatnya dengan lontaran nyanyian yang cukup memukau penonton di Sarawak Chambers Riverside Hotel Kuching.

“Kehadiran Wings di Sarawak malam ini mungkin menjadi pintu membuka rezeki bagi kumpulan-kumpulan lain atau penyanyi lain untuk membuat persembahan di Sarawak,” katanya kepada MEDIA VARIASI selepas konsert semalam.

Menurut beliau kali terakhir Wings mengadakan persembahan di Bumi Kenyalang adalah pada tahun 1997.

“Puluhan tahun Wings tidak masuk (ke Sarawak) dan akhirnya berjaya ke sini dan semoga selepas ini ada sedikit kelonggaran untuk kita dari Semenanjung ke sini (Sarawak) dan dari Sarawak ke Semenanjung untuk saling bertukar seni (persembahan konsert),” ujarnya lagi.

Bercakap mengenai konsep konsert semalam, Awie memberitahu Wings merupakan pelopor konsert berkonsepkan ‘rock and dine’ – penonton hadir ke konsert sambil duduk sambil menikmati jamuan makan.

“Kita mulakan pada bulan Ramadan lalu di beberapa buah hotel kemudian kita teruskan untuk Konsert Wings 36 tahun jadi saya rasakan untuk sekarang ia menjadi trend dan sesuai,” jelasnya.

Namun begitu katanya lagi Wings juga akan kembali kepada konsep marhaen seperti konsert secara konvensional iaitu penonton berdiri di kawasan terbuka.

“Kita akan bagi balik kepada masyarakat daripada marhaen kepada kayangan akan kita kumpulkan nanti… itu untuk projek tahun hadapan,” ujarnya sekali gus mendedahkan perancangan Wings untuk para peminatnya nanti.

Konsert Wings dibawakan khas ke Kuching Sarawak kali ini bertujuan untuk mengutip dana badan bukan kerajaan (NGO) National Cancer Society Cawangan Sarawak.

Di akhir konsert menyaksikan kutipan jualan tiket berjumlah RM30,000 diserahkan kepada wakil NGO berkenaan.

Dewan Sarawak Chamber Hotel Riverside Kuching hampir ‘pecah panggung’ dengan kemeriahan penonton seramai 640 orang daripada 800 orang yang disasarkan oleh penganjur.

Author

Pilihan Editor