HomeSukanZainal, Dollah kini bergelar Datuk

Zainal, Dollah kini bergelar Datuk

OLEH: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Empat legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Ahmad Yusoff dan Yunus Alif kini bergelar Datuk selepas dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menzahirkan ucapan tahniah buat keempat-empat bekas pemain negara itu.

Jelas beliau, jasa legenda bola sepak negara itu cukup besar dan akan terus dikenang.

“Zainal Abidin, 60, salah seorang daripada tujuh legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad Fifa atau Fifa Century Club (untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas) menerusi 116 caps bersama skuad Harimau Malaya.

“Dollah, 59, pula selain beraksi sebagai penyerang Harimau Malaya sekitar era 1980-an dan 1990-an, turut pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2014 hingga 2015 dengan membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.

“Ahmad, 62, sentiasa akan diingat dan dikenang sebagai kapten pasukan ketika Malaysia meraih pingat emas Sukan Sea 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

“Sementara Yunus, 64, pemain kebangsaan di penghujung era 1970-an hingga 1980-an cukup sinonim namanya di pentas bola sepak negara bersama abangnya, Datuk Abdah Alif.

“Jasa dan pengorbanan Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Dollah Salleh, Datuk Ahmad Yusoff dan Datuk Yunus Alif kepada bola sepak Malaysia pastinya akan terus dihargai dan tetap dikenang,” katanyad Facebook FAM di sini.

Darjah kebesaran itu diterima mereka pada majlis istiadat yang berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pagi ini.

Author

Pilihan Editor