KUALA LUMPUR: Ibarat mahu melihat ‘dewa’ turun kayangan, kira-kira 8,000 pengunjung memenuhi ruang Stadium Axiata Arena Bukit Jalil malam tadi.
Konsert Ulang Tahun ke 30 Jelajah Dewa 19 dari kumpulan Indonesia diadakan dua hari berturut-turut iaitu semalam dan malam ini.
Walaupun keadaan hujan, peminat berkumpul seawal jam 5 petang bagi menyaksikan persembahan Dewa 19 yang bermula jam 8.30 malam.
Dewa 19 telah membuka tirai persembahan dengan lagu berjudul Restoe Boemi nyanyian Virzha.
Rata-rata peminat yang hadir pada malam itu teruja serta terpukau dengan persembahan daripada Ahmad Dhani yang menyanyikan lagu Sedang Ingin Bercinta.
Konsert ini turut digamatkan lagi dengan menampilkan empat vokalis yang pernah menganggotai kumpulan Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Once Mekel, Virzha dan Ello.
Sebanyak 35 lagu telah didendangkan untuk penonton yang hadir antara salah satu lagu popular yang dinyanyikan Arjuna, Sedang Ingin Bercinta, Roman Picisan, Pupus dan Dewi.
Dengan slogan konsert 30 tahun, 30 Kota, 30 Lagu ia merupakan hadiah yang paling istimewa buat peminat di Malaysia untuk lepaskan kerinduan terhadap band ikonik ini.
Vokalis kumpulan Dewa 19, Ari Lasso terkejut dengan sambutan dan penerimaan peminat di Malaysia yang diluar jangkaan.
Dia juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada peminat kerana menyokong karier kumpulan Dewa 19 sepanjang 30 tahun berada dalam industri.
“Malam ini merupakan yang terindah buat kami, tidak sangka dapat melihat kehadiran anda semua disini, kalian semua memang sporting.
“Terima kasih Malaysia kerana sentiasa sokong kami sehingga saat ini dan anda memang luar biasa,” ujarnya.
Sepanjang tempoh tiga jam persembahan, peminat bersorak dan menyanyi bersama tanpa henti malah ada juga yang tidak lepaskan peluang merakamkan momen indah bersama kumpulan Dewa 19 sepanjang konsert berlangsung.
Persembahan Dewa 19 yang membariskan lima vokalis Ahmad Dhani, Virzha, Ello, Ari Lasso dan Once ini telah diakhiri dengan lagu Separuh Nafas.
Konsert Ulang Tahun 30 Dewa 19 telah melabuhkan tirainya pada jam 12 malam tadi.