HomeBeritaAhli Majlis, PBT dari NGO, bukan lantikan politik - IKHLAS

Ahli Majlis, PBT dari NGO, bukan lantikan politik – IKHLAS

SUNGAI BESI: Gerakan Tanah Air (GTA) menegaskan lantikan politik dalam jawatan Ahli Majlis dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) punca berlakunya penindasan dan penganiayaan terhadap golongan usahawan.

Perkara itu didedahkan Datuk Mohd Ridzuan Abdullah yang juga Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS).

IKHLAS kini bergerak di bawah naungan GTA.

Ridzuan mendakwa, lantikan politik dalam PBT yang menyebabkan wujud pilih kasih, pemberian tempat mengikut kroni sehingga menjejaskan ketidakseimbangan ekonomi setempat.

Justeru, seharusnya jawatan berkenaan diterajui oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan, yang tidak berpihak atau cenderung pro sebelah pihak.

“PBT ini, siapa yang jadi Ahli Majlis? Orang politik. Orang politik yang tentukan peniaga kekal di situ atau tidak. Kalau orang politik kekalkan peniaga di situ, PBT takkan roboh gerai-gerai.

“Dalam PBT sebenarnya adalah kuasa politik, di mana ahli politik, Ahli Parlimen, wakil rakyat lantik ahli politik jadi Ahli Majlis.

“Sebenarnya dalam PBT, jangan ada politik, sepatutnya lantik daripada NGO,” katanya pada sidang media anjuran GTA dan IKHLAS di Ikan Bakar Dapur Perkom di sini.

Beliau sendiri turun mengedar borang kaji selidik demografi responden dan perniagaan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap penjaja, peniaga kecil,usahawan dan bakal usahawan sekitar kawasan.

Mengulas lanjut, Ridzuan berkata peluang berniaga patut diberi keutamaan bagi orang Melayu berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan menyebut kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Beri peluang pada orang Melayu berniaga selama enam bulan, selepas itu beri kelonggaran untuk dapatkan lesen.

“Di sini, GTA beri peluang untuk semua NGO berada di bawah GTA menerusi IKHLAS. IKHLAS bawa suara 1.6juta peniaga, dan saya beri jaminan bertanggungjawab untuk selesaikan masalah peniaga.

“Tun Mahathir sendiri beritahu saya, you turun padang, mana-mana peniaga kena tindas, you kena bela mereka, jadi hari ini saya terpaksa cerita perkara ini,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor