HomeBeritaBajet 2023: KPLB mohon Tabika KEMAS sebagai kelas pintar

Bajet 2023: KPLB mohon Tabika KEMAS sebagai kelas pintar

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu perjuangkan peruntukan bagi menaik taraf Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai kelas pintar.

Peruntukan itu akan dituntut menerusi Bajet 2023.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata KPLB merancang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 11,000 Tabika KEMAS dilengkapi peralatan digital.

“Insya Allah kita fight juga bajet (Bajet 2023) untuk KEMAS bagi memulakan sekolah di bilik KEMAS ini dengan dipanggil ‘smart classroom’ dengan sekurang-kurangnya dimulakan dengan 800 kelas pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Kakitangan KEMAS Semenanjung Malaysia (KESATERIA) Ke-2 di sini.

Mesyuarat Agung KESATERIA yang diadakan setiap tiga tahun sekali itu dihadiri lebih 300 perwakilan dan pemerhati dari 12 cawangan di seluruh Semenanjung.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Mahdzir berkata, sistem pendidikan awal kanak-kanak tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada cara pengajaran lama.

Katanya, elemen pendigitalan dalam pendidikan awal kanak-kanak amat penting ketika ini.

Author

Pilihan Editor