HomeMV+BongkarBekas penghuni Madrasah Darussolihin akui jalani latihan ala tentera

Bekas penghuni Madrasah Darussolihin akui jalani latihan ala tentera

KUALA LUMPUR: Seorang individu yang mendakwa sebagai bekas penghuni Madrasah Darussolihin Jalan Kebun Shah Alam yang didakwa terbabit isu dera ala ‘militan’ mengakui jalani latihan ala tentera.

“Saya bekas alumni di pondok Madrasah Darus Solihin dan bersama saya, ramai lagi alumni bekas pelajar pondok di sana yang sudah sihat dari penyakit gila, isim, ketagihan dadah, gengster, kaki ‘game’ orang, mangsa penyakit sihir, jin saka, budak-budak yang belasan tahun yang ada kes nk bunuh mak ayah, bekas banduan penjara yang masuk keluar masuk keluar, bertahun-bertahun tak jalan juga.

“Apabila masuk pondok latihan dengan kaedah Guru kami memang macam tentera komando, keras sikit la latihannya… mana boleh manja-manja… nak manja-manja pi masuk sekolah Convent atau Pengasih…

“Pasal yang masuk pun bukan calang-calang budak, bekas banduan, tokan besar, gengster, mangsa sihir dengan penyakit saka keturunan yang sudah bertahun-tahun berubat tak pulih-pulih juga…

“Kami diajar ilmu adab, ilmu tajwid, perbetulkan bacaan al-Quran dan taharah bab fardhu Ain, Tauhid dengan zikirnya, solat dan manaqib mengikut kaedah Tarekat Al-Qodiri dan latihan senaman stail tentera,” tulisnya dalam ruangan komen Facebook MEDIA VARIASI.

Terdahulu, ketika ditanya kepada wakil madrasah yang mahu dikenali sebagai Ridzuan berhubung kesan fizikal yang dialami pelajar yang mendakwa didera ala militan, beliau mengakui pelatih diberi latihan dan senaman termasuk aktiviti silat.

“Latihan dibuat di atas lantai memang kesan begitu,” katanya kepada MEDIA VARIASI di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia di sini pada Selasa.

Ridzuan hadir bersama tiga lagi wakil madrasah dan selepas sejam perbincangan dengan pihak media, ibu kepada pelajar madrasah yang dakwa didera ala militan turut menyertai perbincangan.

Ridzuan mengesahkan madrasah berkenaan menjalankan pusat pemulihan dadah secara tidak sah sejak 2002 dan hanya sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada tahun 2018.

Bagaimanapun Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon pula menafikan dakwaan agensi berkenaan terlibat kerjasama dengan madrasah berkaitan.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, pendedahan pelajar didera ala militan ketika mengikuti ‘rawatan pemulihan’ di madrasah di Shah Alam.

Susulan pendedahan itu, dimaklumkan, madrasah berkenaan tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau AADK.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim turut mengesahkan laporan diterima dan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad menjalankan siasatan dakwaan isu pelanggaran hak asasi manusia di madrasah berkaitan, bagi menjalankan fungsi statutorinya di bawah Seksyen 4 dan 12 Akta SUHAKAM 1999.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, memaklumkan kes madrasah yang didakwa mendera pelajar ala militan telah dibawa kepada pihak polis.

Pilihan Editor