HomeGaya HidupCucuk darah sendiri untuk jadi muda, kulit cantik

Cucuk darah sendiri untuk jadi muda, kulit cantik

KUALA LUMPUR: Teknik rawatan mencantikkan wajah dengan menggunakan darah sendiri kini menjadi antara teknologi baharu dalam bidang estetik yang digunakan secara meluas termasuk di negara ini.

Antara rawatan itu ialah teknik Platelet Rich Plasma (PRP) yang digemari khususnya sebilangan wanita bagi mendapatkan mendapatkan kulit licin, mulus dan berseri selain membantu mengatasi masalah tanda penuaan seperti garis halus dan pigmentasi.

Menurut Pengasas Klinik Idealyst, Dr Aidil Azry Datuk Mokhtar berkata, teknik itu bermula apabila darah pesakit diproses dan hanya mengambil plasma yang disuntik pada bahagian wajah.

Katanya, dengan melakukan kaedah itu ia dapat merangsang peningkatan kolagen, mencerahkan kulit menerusi stem sel yang terkandung dalam plasma secara semula jadi.

Beliau berkata, justeru teknik itu semakin menjadi pilihan dalam kalangan wanita termasuk golongan lelaki yang mahukan rawatan berisiko rendah.

“Darah diambil sebanyak 10 mililiter (ml) daripada lengan pesakit, kemudian diletakkan di dalam tabung khas sebelum dimasukkan di dalam mesin selama 10 hingga 15 minit untuk memisahkan serum dan sel darah merah.

“Suntikan menggunakan darah sendiri berupaya membina sel baharu bagi menggantikan sel yang rosak dan membuatkan permukaan kulit lebih anjal dan gebu secara semula jadi.

“Selepas menjalani beberapa proses, serum yang mengandungi sel stem, platelet dan hormon dihasilkan. Menerusi proses ini, plasma iaitu cairan bening pada bahagian atas mengandungi banyak sel penyembuhan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang berusia 44 tahun memiliki pengalaman mengusahakan klinik estetik sejak 13 tahun lalu selepas berkhidmat di hospital kerajaan sejak tahun 2002.

Dr Aidil Azry menambah, PRP yang juga dikenali sebagai vampire facial diperkenalkan sejak tahun 1990-an di negara maju seperti Jepun dan Eropah dalam bidang perubatan seperti pembedahan jantung, ortopedik dan urologi.

Katanya, teknologi itu turut digunakan dengan meluas dalam perubatan sukan seperti merawat ligamen serta tendon terkoyak dan sejak tahun 2000 sebelum rawatan berkenaan pula digunakan mulai diperkenalkan dalam bidang estetik.

Graduan perubatan di Kolej Universiti Dublin Ireland itu memberitahu, kajian yang pernah dilakukan di Eropah, England, Jepun dan Afrika Selatan, menunjukkan PRP berfungsi memulihkan keremajaan kulit, mengurangkan parut, menghilangkan jeragat, garis, lekuk pada wajah serta ulser diabetes membabitkan penggunaan plasma yang kaya platelet.

“Ini kerana platelet ialah partikel kecil dalam darah yang mempunyai nilai estetik yang tinggi dan merangsang hormon tumbesaran.

“Hormon ini berfungsi merangsang penyembuhan, pembaharuan dan meningkatkan keupayaan sel sekali gus menambah keanjalan kulit,” katanya yang kini memiliki dua cawangan klinik iaitu di KL Trillion, Jalan Tun Razak dan Damansara Perdana yang dikendalikan isterinya.

Dr Aidil Azry memberitahu, darah pesakit digunakan sebagai sumber kerana ia mudah diproses berbanding sumber daripada lemak atau sum-sum tulang.

“Suntikan pada bahagian wajah akan mula membaiki sel kulit dan meremajakan kulit secara semula jadi di mana ulit akan menjadi lebih gebu, bersinar, bersih dan tegang,” katanya.

Menurut Aidil Azry lagi, sel stem kulit mempunyai fungsi khusus untuk memperbaharui dan memperbaiki kulit yang menyebabkan tubuh merangsang sel kulit untuk menghasilkan protein, karbohidrat, lipid bagi mengurangkan garis halus, kedutan, mengembalikan dan mengekalkan keanjalan kulit.

“Kesan keanjalan kulit boleh dilihat selepas dua minggu rawatan dilakukan dengan keadaan kulit lebih segar dan tampak lebih anjal berbanding sebelumnya.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin melakukan rawatan itu dinasihatkan mendapat nasihat doktor bertauliah untuk memastikan prosedur dijalankan dengan betul.

“Bagi mendapatkan keputusan yang memuaskan pesakit boleh menjalankan prosedur antara tiga hingga empat kali terutama untuk rawatan wajah berparut akibat jerawat, pigmentasi parut dan mengurangkan kerutan pada wajah,” katanya.

Author

Pilihan Editor