Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: TikToker terkenal, Hasif Upin kini melangkah lebih jauh dalam industri seni sebagai penyanyi.
Muncul dengan single sulung yang berjudul Janji Sampai Mati ciptaan Aizat Amdan dan Anas Amdan, Hasif, 29, tidak pernah menyangka tuahnya adalah dalam bidang muzik.
“Syukur Alhamdulillah, selepas menyertai uji bakat The Audition anjuran Armani Entertainment Group, saya menerima ‘superstar pass’ daripada pengarah tersohor Michael Ang dan terus diserap menjadi penyanyi.
“Semuanya bermula dengan video parodi Upin Ipin yang saya hasilkan selepas sahur Ramadan pada tahun lalu dan tak menyangka ia akan menjadi viral,” katanya.
Dia berkata demikian selepas majlis perlantikan sebagai duta M-150 iaitu minuman tenaga pilihan ramai di sebuah hotel semalam.
Ketika ini, hampir semua video dihasilkan mencuri perhatian netizen sehingga tular menembusi negara Indonesia dan dia sehingga kini memiliki 2.6 juta pengikut di akaun TikTok.
Memiliki lebih 2.6 juta pengikut di TikTok, Hasif yang merupakan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor juga menganggap platform itu sebagai pembuka jalan rezeki untuknya.
Berkongsi mengenai lagu Janji Sampai Mati, Hasif atau nama sebenar Muhammad Hasif Sharuddin berkata, ia mengisahkan mengenai cinta antara dua insan yang berterusan sehingga akhir hayat.
“Lagu ini berkisar tentang kisah cinta antara dua jiwa, penantian penuh kesetiaan dan janji yang terpatri sehingga akhir hayat.
“Sejujurnya saya tidak tahu perasaan sebegitu kerana masih bujang. Saya hidup sebatang kara setelah pemergian ibu Oktober lalu. Ayah pula sudah lama tiada,” katanya.
Hasif menjadi penyanyi selepas menyertai uji bakat The Audition anjuran Armani Entertainment Group.
Sebelum ini, Lagu Janji Sampai Mati telah dipilih sebagai runut bunyi drama I Promise, Janji Anaqi yang ditayangkan di Astro Ria akhir tahun lalu.
Ia boleh dimuat turun dan diperdengarkan di aplikasi iTunes Store, Apple Music, Spotify, Joox, Youtube Music, KKBox dan Deezer.