GOMBAK: Ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, sudi menawarkan khidmat nasihat bidang perniagaan kepada usahawan Melayu yang mahu bangkit maju berniaga, namun menghadapi kekangan modal.
Khalid atau lebih dikenali dengan Datuk K, suami kepada penyanyi nombor satu negara itu juga mahu usahawan yang mahu berjaya perlu mempunyai kesungguhan dan etika dalam mencapai hasrat diimpikan.
Ini kerana, beliau percaya dengan bakat masing-masing untuk bersaing dalam bidang terbabit.
“Yang penting, ada citarasa tersendiri, kesabaran, minat dan hobi.
“Ibarat satu pepatah, dia pandai berenang, tidak tenggelam, saya tolak ke laut dari bot, pandailah dia ketepian.
“Jadi, ada yang ditolak, terkapai, datang minta pendapat, guna pakai nasihat (saya) dia berjaya ke peringkat lebih baik. Kalau dia bersungguh dalam kerja, amanah, beretika, diberkati kemungkinan tak kaya raya tetapi ada rezeki baik,” katanya kepada MEDIA VARIASI, di sini.
Mengulas mengenai usahawan aksesori kereta, Sham Bodykit yang diusahakan Noorisham Mohd Nor, Khalid berkata, Noorisham adalah antara individu yang berpotensi untuk lebih berjaya.
Katanya, Noorisham mungkin tidak tahu mengguna pakai ilmu perniagaan dengan berkesan namun dia mempunyai karakter kuat untuk bersaing.
“Saya dah pergi tengok kedai dia (Sham Bodykit), nak cari ‘spoiler’ kereta, tapi kedai dah nyawa-nyawa ikan, kalau tak, akan mati (perniagaan).
“Tapi dia ada karakter yang buat saya faham, jadi saya kongsi pengalaman dan ilmu untuk dia guna.
“Justeru, saya alukan pada anak muda jika perlukan nasihat, ada karakter baik, berusaha gigih, apa salahnya kita bantu. jangan jadikan modal sebagai penghalang untuk maju,” katanya.