HomeBeritaGanjaran RM150,000 jika temui lelaki hilang ketika bermain jetski masih hidup

Ganjaran RM150,000 jika temui lelaki hilang ketika bermain jetski masih hidup

Oleh: ARRIAN ZAYNE

SEMATAN: Ganjaran berjumlah RM150,000 diberikan kepada orang ramai yang berjaya menemui seorang lelaki dalam keadaan masih hidup memandangkan mangsa dikhuatiri hilang setelah bermain jetski di Perairan Pulau Talang, Sematan, Sarawak sejak 16 September lalu.

Iklan ganjaran yang dipercayai dikeluarkan oleh keluarga mangsa turut menyatakan wang tunai berjumlah RM30,000 ditawarkan sekiranya jasad Lee Chong Loong ditemui.

Memasuki hari keenam lelaki berusia 46 tahun itu hilang tanpa jejak namun hanya jetski ditemui iklan berkenaan turut merayu orang ramai turut serta membantu pihak berkuasa mencari mangsa.

Sementara sejak Op Carilamat hari keempat, sektor pencarian diperluaskan lagi sekitar perairan Tanjunb Sipang hingga Sempadi dan laut lepas.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus keluasan sektor operasi yang dikoordinasikan oleh MRSC Kuching, Maritim Malaysia merangkumi keluasan 94.14 batu nautika persegi dan jumlah keseluruhan pencarian adalah 776.09 batu nautika persegi.

“Namun tiada sebarang petunjuk baru ditemui oleh pasukan penyelamat setakat pencarian hari ini (hari kelima),” katanya dalam laporan semalam.

Beliau memberitahu sektor pencarian semalam juga dipecahkan kepada beberapa sektor utama meliputi kawasan pencarian di kawasan penemuan Jetski dan kawasan Sematan Lundu hingga ke Muara Sungai Lundu.

Mangsa Lee Chong Loong dilaporkan hilang pada 16 September lalu selepas menguji jet ski bersama rakan, di perairan Pulau Talang-Talang, Sematan untuk menuju ke Jeti Samtubong, kira-kira 100 kilometer (km) dari bandar raya Kuching.

Author

Pilihan Editor