Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI
CRISTIANO Ronaldo menjadi sasaran kritikan selepas Portugal tunduk 0-1 di tangan Sepanyol. Kakak Ronaldo, Katia Aveiro, marah dengan layanan adiknya itu.
Bintang bola sepak Portugal itu bergelut ketika menghadapi Sepanyol dalam Liga Negara-Negara UEFA pada Rabu. Bermain selama 90 minit, Ronaldo hanya menyentuh bola sebanyak 30 kali, kehilangan bola sebanyak sembilan kali, dan terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol.
Dalam aksi itu, Sepanyol memenangi perlawanan itu hasil jaringan tunggal Alvaro Morata dalam tiga minit terakhir permainan. La Furia Roja mara ke separuh akhir serta memberikan kekalahan kedua kepada Selecao das Quinas dalam tiga perlawanan terakhir.
Beberapa penyokong mengecam penampilan Ronaldo dalam perlawanan itu. Ramai percaya zaman keemasan Ronaldo sudah tamat. Lebih-lebih lagi, dia sudah mencecah usia 37 tahun dan berada dalam momentum buruk bersama kelabnya, Manchester United, di mana dia hanya menjaringkan satu gol (penalti) musim ini.
Katia Aveiro segera mempertahankan Cristiano Ronaldo. Katia memuat naik Instastory yang memaparkan foto Ronaldo sedang duduk di padang dengan kapsyen yang menyerang pengkritiknya.
“Adalah penting untuk menyokong mereka yang sentiasa membantu Portugal.
“Tetapi orang Portugis ini gila, cetek, tidak berjiwa, bodoh dan selama-lamanya tidak berterima kasih.
“Lelaki yang duduk ini, dia berlutut… Tiada siapa yang menolongnya berdiri, ini kejam. Dan dia telah memberi terlalu banyak, terlalu banyak. Lelaki yang duduk itu dipanggil Cristiano Ronaldo, dan dia adalah pemain terbaik di dunia,” tulis Katia di akaun Instagramnya.
Cristiano Ronaldo sendiri telah melakukan 191 penampilan untuk pasukan kebangsaan Portugal selama 19 tahun. Bagaimanapun, Ronaldo hanya menjaringkan dua gol dalam sembilan penampilan terakhirnya dengan meledak dua gol ketika menentang Switzerland pada Jun.
“Dia mempunyai keluarga dan orang yang menyayanginya di sisinya. Mereka akan sentiasa berada di sisinya, tidak kira apa yang berlaku.
“Tetapi masa-masa seperti ini tidak mengejutkan saya sama sekali. Orang Portugis meludah di atas pinggan mereka makan sendiri, ia sentiasa seperti itu. Itulah sebabnya apabila seseorang muncul dari abu dan mengubah mentalitinya, ia mengganggu… Sentiasa bersama anda, rajaku,” tambah Katie.