HomeHiburanKos filem Malbatt Misi Bakara RM20 juta

Kos filem Malbatt Misi Bakara RM20 juta

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Filem Malbatt Misi Bakara bakal mencipta rekod sebagai filem termahal pernah dihasilkan oleh karyawan tempatan apabila kos pembikinannya menelan belanja sebanyak RM20 juta.

Pengarah filem aksi tersebut, Andrian The berkata, daripada RM20 juta 70 peratus kos digunakan untuk produksi selain menggunakan khidmat barisan pelakon terkenal.

“Naskhah ini menelan belanja yang tinggi kerana uniform tentera dalam filem ini tidak lagi dipakai oleh tentera Malaysia.

“Disebabkan tidak boleh menyewa pakaian tersebut, kami perlu menempah khas dari Indonesia. Selain itu, kami juga perlu membina semula kelengkapan ketenteraan ketika penggambaran di Turki,” katanya pada sidang media semalam..

Adrian turut melahirkan rasa syukur kerana karya diangkat daripada kisah benar itu mendapat kepercayaan pihak penerbit utama Berjaya Pictures, Tan Sri Vincent Tan yang bersetuju untuk melabur tanpa melihat kertas kerja terlebih dahulu.

“Kepercayaan yang diberikan oleh pihak penerbit akan saya gunakan sebaik mungkin dan saya tahu pihaknya pasti inginkan keuntungan.

“Perkara itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya. Tetapi tekanan itu bagus untuk saya beri yang terbaik. Mungkin ini akan menjadi filem ketenteraan saya yang terakhir kerana bukan mudah dan saya cukup penat,” kata Adrian.

Filem Malbatt Misi Bakara merupakan filem yang diambil daripada kisah benar tentang operasi membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam perang saudara di Somalia pada tahun 1993.

Dilakonkan oleh barisan pelakon terkenal seperti Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Dafi Ismail Sabri, Ikhram Juhari, Gambit Saifullah, Theebaan G, Taufiq Hanafi dan Safwan Nazri, filem ini dijangka akan menemui penonton sekitar Ogos tahun depan.

Selain Berjaya Pictures, filem ini turut dipersembahkan bersama syarikat penerbitan Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw.

Author

Pilihan Editor