HomeMV+EksklusifLalat serang Sungai Besar, jejas perniagaan dan pelancongan

Lalat serang Sungai Besar, jejas perniagaan dan pelancongan

SUNGAI BESAR: Kira-kira 2,000 penduduk Sungai Panjang diserang lalat sejak 10 tahun lalu sehingga menjejaskan rutin harian, operasi perniagaan dan sektor pelancongan.

Serangan lalat ini bermula tahun 2012 dipercayai setelah hampir 40 reban ayam beroperasi, di mana membabitkan penternakan lebih 5 juta ekor ayam.

Situasi itu menyebabkan lalat tidak putus-putus hurung mengganggu penduduk dari 10 kampung berhampiran.

Penggerak Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, sudah hampir 10 tahun, isu tak selesai lagi.

“Penduduk dah isukan ke pihak atasan pelbagai jabatan berkaitan, masih tak selesai.

“Kenapa mengambil masa begitu lama? Penduduk sudah tinggal sebelum reban ayam itu wujud.

“Jadi, kita nak minta pihak bertanggungjawab segera selesaikan isu ini, kita bagi sebulan.

“Jika tak selesai, sudah tentu perkara ini melibatkan rasuah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau hadir menerima aduan kira-kira 20 penduduk yang mewakili 2,000 penduduk lain yang terjejas akibat isu ini.

Perindustrian, kilang buat makanan dan perniagaan yang terletak di 10 kampung berkenaan diganggu lalat saban hari.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bencana Lalat Sungai Panjang, Mohd Zaki Sungib berkata, beberapa laporan polis sudah dibuat dalam tempoh sedekad ini.

“Wakil rakyat, pemimpin setempat, pihak berkuasa tempatan dan veterinar telah turun padang melihat sendiri keadaan di reban ayam berkenaan dan lain-lain.

“Namun apa yang mengecewakan penduduk pula yang disalahkan, kata mereka punca ternakan lembu, arnab, kambing dan sebagainya.

“Sedangkan sebelum 2012, penduduk yang tinggal di sini tidak pernah ada isu lalat walaupun ternak pelbagai binatang.

“Jadi saya harap jangan salahkan penduduk, isu ini perlu diselesaikan dengan segera seperti menggunakan teknologi ternakan ayam secara tertutup seperti di Melaka,” katanya.

Author

Pilihan Editor