HomeMV+BongkarMangsa keldai akaun dipaksa mengaku salah

Mangsa keldai akaun dipaksa mengaku salah

CHERAS: Mangsa ‘keldai akaun’ yang sebelum ini mendakwa dia bukan pelaku jenayah ‘scammer’ pinjaman mudah, mendedahkan dia didesak mengaku bersalah terhadap tuduhan yang tidak dilakukannya.

Individu itu, Mohd Ezanee Mohd Fauzi, 39, mendakwa dia dinasihatkan Pegawai Penyiasat (IO) polis untuk mengaku salah mengikut akta dikenakan iaitu Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Saya buat laporan polis (nama disyaki terlibat dalam penipuan pinjaman), tapi tak diambil sebarang tindakan sehingga 2022, saya dipanggil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk beri keterangan.

“Di sana, saya dipaksa mengaku bersalah walaupun saya tidak mengaku bersalah. Tindakan pada saya keras yang mana saya tidak buat (melakukan perbuatan) dalam Seksyen 411.

“Seperti yang dijanjikan asal oleh IO dalam kes saya hanya dikenakan mengikut Seksyen 29(1) bagi kesalahan kecil dengan denda RM1,000 dan tiada rekod,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Justeru, beliau berasa aneh kerana sehingga kini tiada apa-apa tindakan berdasarkan laporan polis yang dibuatnya.

“Cuma saya nak nasihatkan di luar sana, jangan terjebak dalam pinjaman dalam media sosial.

“Persoalan saya hanya, kenapa pihak bertanggungjawab untuk selesaikan kes saya tidak ambil apa-apa tindakan terhadap scammer, kenapa orang seperti saya dijadikan mangsa untuk penuhi KPI mereka (polis),” katanya ketika ditemui di sini.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, hidup Mohd Ezanee Mohd Fauzi, terbeban apabila dihantui ‘hukuman’ penjara akibat pinjaman mudah yang tidak wujud tiga tahun lalu itu selepas terjebak pinjaman mudah di dalam talian.

Anehnya, dia didakwa bersalah ketika berada di Kuala Lumpur sedangkan kad ATM digunakan oleh scammer untuk mengeluarkan wang berkenaan di Pulau Pinang pada tarikh dan masa sama.

Ibarat orang lain makan nangka, orang lain terkena getah, Mohd Ezanee kini berdepan tuduhan mahkamah memiliki harta curi yang boleh dihukum mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Author

Pilihan Editor