HomeHiburanMat Sakau: Adi Putra tegur Fahmi Reza

Mat Sakau: Adi Putra tegur Fahmi Reza

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Adi Putra menegur pembuat imej poster Mat Sakau iaitu Fahmi Reza selepas menyunting gambarnya berada bersebelahan dengan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk dijadikan bahan jenaka.

Kata hero filem Mat Kilau: Kebangkita Pahlawan, jika seseorang itu mahu bermain politik, biarlah ia dilakukan secara matang.

“Politik biarlah matang @kuasasiswa. Allah adalah kekuatan kita. Untuk mencari kekuatan, carilah Allah. Itulah perbezaan antara akal dan nafsu,” ujarnya di Instagram hari ini.

Pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu merujuk kepada imej dirinya bersama Najib tetapi disunting menjadi seolah-olah poster filem Mat Kilau untuk tayangan platform penstriman Netflix.

Cuma, poster itu tidak menggunakan tajuk Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebaliknya Mat Sakau, gelaran yang sering dirujuk kepada Najib ekoran sabitan kes jenayahnya di mahkamah.

Melalui perkongsian dimuat naik itu, Fahmi ‘mengajak’ orang ramai menonton Mat Sakau di Netflix.

“Tengok Netflix malam ni, lebih bagus daripada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan,” tulis aktivis terbabit.

Pada paparan imej itu diselitkan pula sinopsis ‘filem’ Mat Sakau.

“Selepas menyeleweng jutaan ringgit, bekas perdana menteri Najib Razak akhirnya dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman 12 tahun,” kata keterangan pada poster berkenaan.

Najib dipenjara selepas beliau didapati bersalah menyelewengkan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai 2020.

Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang pada hari sama.

Untuk rekod, Adi, 41, adalah bintang utama yang menerajui filem diinspirasi daripada kisah pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajahan British, Mat Kilau Imam Rasu atau Mohamed Ibrahim.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya meraih kutipan pecah panggung hampir RM100 juta mula ditayangkan di Netflix sejak 16 Sept lalu.

Author

Pilihan Editor