HomeSukanMFL arah Melaka United FC selesaikan isu tunggakan gaji

MFL arah Melaka United FC selesaikan isu tunggakan gaji

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

MALAYSIAN Football League (MFL) memaklumkan bahawa Melaka United FC (MUFC) akan diberikan tempoh sehingga 20 September 2022 bagi menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat.

Jelas MFL, MUFC bakal kehilangan slot Piala Malaysia 2022 jika gagal berbuat demikian meskipun kelab tersebut layak bertanding dalam kejohanan tertua di Asia Tenggara itu pada musim ini.

Satu notis peringatan sudah dihantar oleh MFL pada 6 September 2022 (Selasa) kepada pihak pengurusan MUFC untuk menyelesaikan kes tunggakan gaji mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Sebelum ini, MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan terhadap Sarawak United FC oleh kerana bayaran tertunggak kepada pemain dan pegawai pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-4 yang diadakan pada 25 Ogos 2022.

Mengulas lanjut, MFL menegaskan tindakan awal ini adalah untuk mengelakkan insiden yang sama akan menimpa kepada pasukan MUFC sehingga menyebabkan jumlah besar membabitkan tunggakan gaji pemain serta pegawai kelab.

“Sehubungan itu MFL meminta MUFC diberi sehingga 20 September 2022 untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain berkenaan tunggakan gaji.

“Jika MUFC gagal berbuat demikian dalam tempoh masa yang diberikan, maka mereka berkemungkinan tidak akan dibenarkan menyertai pertandingan Piala Malaysia 2022 meskipun layak untuk bertanding dan perkara ini akan mengundang risiko lesen kelab 2023 mereka terjejas.

“MFL juga akan berhubung dengan PFAM (Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) bagi berbincang bantuan dan tindakan susulan seterusnya,” jelas MFL dalam satu kenyataan rasmi.

Author

Pilihan Editor