Oleh: ARRIAN ZAYNE
BINTULU: Bintulu berupaya menjadi penjana ekonomi terbesar untuk Sarawak menerusi industri minyak dan gas dalam tempoh lapan tahun lagi dengan pelaksanaan sistem nilai tambah ke dalam industri.
Berasal daripada sebuah perkampungan nelayan, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis wajah Bintulu berubah menjelang tahun 2030 walaupun hasil kebergantungan terhadap pengeksportan gas cecair asli atau LNG belum pada tahap optimum.
“Sarawak akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bahawa sumber kita ada (mempunyai) nilai tambah di sini jika kita ingin menggandakan saiz ekonomi kita daripada RM136 bilion kepada RM282 bilion dan mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam ucapan beliau bersempena sambutan perayaan Hari Malaysia Ke-59 Peringkat Sarawak di Bintulu pada Jumaat malam.
Maka tegas Abang Johari, Sarawak tidak boleh terlalu bergantung kepada eksport LNG untuk meningkatkan pendapatannya semata-mata.
Menurut Abang Johari perubahan dalam gelombang kedua pembangunan bandar ini dengan pengembangan aktiviti perindustrian di Tanjung Kidurong dan Samalaju, dan perluasan Bintulu ke kawasan Jepak bagi menjayakan sumber sebagai nilai tambah selepas ini.
Menekankan lagi bahawa Bintulu adalah pusat pengeluaran dan pengeksportan gas cecair asli atau LNG ke negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan sejak 1983.
“Sayangnya LNG yang keluar dari perut bumi Sarawak tidak digunakan secara lebih optimum dengan itu pengwujudan rantaian nilai tambah yang lebih menyeluruh untuk menjana ekonomi Sarawak dan memberi manfaat kepada rakyatnya,” ujarnya.
Tambah beliau Sarawak tidak berpuas hati dengan hanya mengeksport bahan mentah berikutan langkah tersebut turut merugikan justeru proses menambah nilai kepada sumber Sarawak sentiasa dilakukan di tempat lain di luar negeri.
“Inilah sebabnya mengapa purata pendapatan isi rumah kita berada di bawah purata nasional walaupun kita kaya dengan sumber kerana kewujudan rantaian nilai yang terhad untuk menjana ekonomi,” jelasnya.
Melalui perlaksanaan program untuk membangunkan Bintulu ke arah menjadi hab petrokimia jelas Abang Johari menerusi kolaborasi antara kerajaan Sarawak dengan Petronas dan disokong oleh para pelabur dari dalam dan luar negara.
“Dengan kata lain, sumber minyak dan gas Sarawak akan ditambah nilai supaya terbentuk “value chain” untuk menjana ekonomi yang lebih menyeluruh dan mempertingkatkan manfaat kepada Bintulu dan Sarawak keseluruhannya,” tegasnya.
Langkah pertama ke arah penghiliran industri minyak dan gas di Tanjung Kidurong dedah beliau melalui pembinaan sebuah loji pengeluaran methanol kepunyaan Sarawak yang sedang giat berjalan sekarang ini.
Bagi menyokong langkah ini, kata beliau Petronas akan membina kemudahan penyaluran gas kedua di Tg Kidurong untuk membekalkan gas sehingga 1,200 MMscfd (million standard cubic feet per day) kepada loji methanol tersebut dan juga stesen janakuasa gas pihak Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Pembinaan loji methanol pertama di Tg Kidurong yang dimiliki oleh Petchem Sarawak sekarang ini 66 peratus siap dan dijangka akan memulakan operasi pada awal 2024,” katanya bertujuan untuk mengeluarkan methanol yang boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai bahan derivatif.