HomeBeritaPemimpin PH putar belit ucapan Ahmad Zahid isu banjir - Muqharabbin

Pemimpin PH putar belit ucapan Ahmad Zahid isu banjir – Muqharabbin

KUALA LUMPUR: PH terus membawa pemimpin berwajah manipulasi, putar belit, dan tidak lekang dengan kenyataan mengelirukan, kata EXCO Pemuda UMNO , Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Katanya, ini termasuk memanipulasi ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada musim banjir.

Muhamad Muqharabbin menyelar tindakan pemimpin PH yang telah memutarbelit ucapan pemimpin BN itu.

Jelas beliau, ucapan Ahmad Zahid itu telah dipetik hanya sebahagian oleh pemimpin PH seolah-olah membawa maksud BN sanggup meredah banjir semata-mata untuk mengadakan pilihan raya.

Justeru, katanya, kenyataan berkenaan dimanipulasi untuk mewujudkan kemarahan rakyat terhadap BN sekaligus tidak mengundi BN pada PRU15 nanti.

“Apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid semasa program bersama Pemuda BN ialah sekiranya BN menang PRU15 ataupun kalah sekalipun, kita tetap akan turun padang beramai-ramai membantu mangsa banjir dan bukannya turun beramai-ramai mengundi masa banjir.

“Inilah masalah pemimpin PH yang suka memutarbelit kenyataan pihak lain, mereka tidak boleh lari daripada bersikap seperti itu, wajah PH penuh dengan manipulasi, kata-kata pemimpin PH tidak lekang dengan putar belit.

“Jadi, saya berharap rakyat tidak terperangkap dengan mainan politik PH yang telah memanipulasikan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid itu demi untuk kepentingan politik sempit mereka”, katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Ahmad Zahid dilaporkan berucap pada majlis Perhimpunan Gerak Gempur Pemuda BN pada Khamis lalu.

Muhamad Muqharabbin yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai berkata, sepatutnya pihak berkenaan hentikan sikap mengelirukan rakyat menerusi manipulasi dengan niat untuk menimbulkan kebencian.

Katanya, pemimpin PH jelas kelihatan telah ketandusan isu sehingga terpaksa memetik ucapan Ahmad Zahid di luar konteks dan memanipulasikannya.

Bagaimanapun, Muhamad Muqharabbin yakin rakyat hari ini lebih bijak dan tahu menilai sesuatu secara matang tanpa perlu dimomokkan dengan kenyataan yang berbaur hasutan ke arah kebencian.

“Bagi saya biarlah rakyat sendiri menilai akan sesuatu, kerana saya yakin rakyat dan juga pengundi hari ini lebih bijak dan memahami segalanya, kita tidak perlu lagi berpolitik secara emosi dengan cuba mewujudkan unsur-unsur negatif dalam pemikiran rakyat dan pengundi,” katanya.

Muhamad Muqharabbin mengulas beberapa pemimpin PH mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju PRU15 berlangsung pada tahun ini dan menjadikan banjir sebagai alasan.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli antaranya mengancam untuk menyumbat ‘pemimpin terbabit’ jika PRU diadakan semasa banjir.

Author

Pilihan Editor