KUALA LUMPUR: Pengusaha pakaian ‘Baju Kurung Tanpa Gosok’, Sabella berjaya melahirkan lebih 120 usahawan tanpa modal (dropship) yang berjaya membuat jualan RM1 juta setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabella, Mohd Sufian Sulaiman berkata, kejayaan yang dicapai setiap daripada mereka adalah bukti kerja keras tanpa mengenal erti putus asa biarpun negara baru memasuki endemik.
“Kebanyakan daripada ‘dropship’ Sabella terdiri daripada suri rumah yang mana memang tidak mempunyai asas dalam perniagaan.
“Tapi, apabila mereka bersama kita, secara perlahan-lahan mereka dapat belajar seterusnya mampu pergi jauh.
“Pada saya, ini adalah usaha dan kerja keras yang wajar diberi pujian. Bukan mudah sebenarnya apatah lagi sepanjang hampir dua tahun ini negara dibelenggu dengan pandemik.
“Namun, mereka tidak pernah putus asa sekali gus membuktikan tidak ada mustahil untuk dilakukan.
“Mencapai jumlah jualan RM1 juta dalam tempoh setahun dan ke atas itu sesuatu yang cukup membanggakan. Semoga kejayaan mereka ini menjadi pendorong buat orang lain untuk terus berjaya,” katanya pada majlis makan malam, Inner Circle Meeting Sabella 2022 yang diadakan baru-baru ini.
Beberapa rakan kongsi premier Sabella yang menjadi usahawan ‘dropship’ di bawah syarikat itu menyumbang kepada sumber pendapatan yang lebih stabil serta dilengkapi ilmu perniagaan masa kini.
Che Sukma Ayu Yaacob berkata, sebelum menyertai Sabella dia merupakan suri rumah sepenuh masa.
“Jadi, dari segi pendapatan itu kalau buat bisnes sebelum ini pun memang tak ada rekod.
“Tapi alhamdulillah apabila menyertai Sabella, saya dah mula ambil gaji saya dan boleh jana pendapatan lima angka sebulan,” katanya.
Muhammad Arif Atiq Ahmad Suzaili pula berkata, selama setahun bersama Sabella, dia sudah mencapai kejayaan.
“Bagi saya ia adalah satu perkembangan yang agak besar. Sebelum saya dalam agensi pelancongan pun saya punya jualan macam itu tetapi saya nak buktikan yang lelaki juga boleh jual baju perempuan dan fesyen wanita,” katanya.
Pada majlis sama, Sabella turut mengadakan pertunjukan fesyen untuk memperkenalkan rekaan terbaharu bagi koleksi akan datang.
Sabella juga menyasarkan jualan tahun ini sebanyak RM200 juta selain mengumumkan insentif menarik untuk direbut usahawan ‘dropship’ apabila mencapai sasaran jualan pada 2023.
Ia termasuk pakej percutian ke Ho Chi Minh, Bali dan Turkiye termasuk sebuah kereta mewah Mercedes A200.