KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan amat meriah dan menjadi manifestasi kebangkitan negara setelah bergelut dengan pelbagai cabaran pada tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya sambutan yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, Melaka malam tadi sungguh bermakna, dan mengimbau kembali detik-detik laungan kemerdekaan oleh perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahmad Putra Al-Haj.
“Saya bangga dengan penganjuran Hari Malaysia yang penuh gilang-gemilang ini. Terima kasih Keluarga Malaysiaku,” katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya hari ini.
Sambutan Hari Malaysia itu menampilkan keunikan tema busana era 50-an dan 60-an yang dipilih bagi meraikan hari memperingati pembentukan Malaysia.
Sambutan dihadiri lebih 20,000 pengunjung itu buat julung kalinya diadakan di Semenanjung dengan Melaka menjadi tuan rumah acara gilang-gemilang itu. – BERNAMA