Oleh: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Sarawak memegang rekod sebagai kadar residivis terendah di Malaysia serta bagi seluruh dunia iaitu hanya pada angka 98 orang daripada 100,000 populasi untuk tahun ini.
Data yang membanggakan ini kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah dicatatkan sejak 2008.
“Kadar residivis atau kadar kemasukan semula banduan ke penjara untuk di Sarawak sentiasa pada paras rendah,” katanya.
Fatimah berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Jabatan Penjara Sarawak di pejabatnya di Baitul Makmur Kuching, Sarawak hari ini.
Melihat situasi tersebut kata Fatimah pihak Jabatan Penjara ingin mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kadar rendah di sini.
“Kita (kementerian) juga mahu tahu kerana pihak kita turut bekerjasama dengan Jabatan Penjara sama ada adakah tindakan kita menyumbang kepada kesedaran di peringkat banduan,” ujar Fatimah.
Menurut Fatimah kementeriannya turut menjalin kerjasama yang baik bersama pihak Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti.
“Selain mencari tahu penyumbang kadar rendah ini pihak kementerian juga mengenal pasti cara memperbaiki jalinan kerjasama sebab apa jua yang kita lakukan harus memberi pulangan positif (kepada masyarakat),” tegasnya.
Jabatan Penjara Malaysia kata Fatimah akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti kejayaan Sarawak memperolehi kadar residivis rendah selama ini.
“Keputusan kajian boleh dikongsikan kepada dunia kelak agar pihak lain boleh mengikut jejak ekosistem Sarawak (kadar residivis rendah) selepas ini,” ujarnya.
Fatimah menegaskan banduan antara golongan yang perlu dibantu selepas mereka keluar dan bebas menjalani hukuman di penjara.
“Memandangkan situasi ‘stigmazation’ masih wujud dalam kalangan masyarakat terhadap mereka maka selain giat membasmi kemiskinan dalam rentan kumpulan B40 kementerian turut berusaha membantu golongan banduan dalam masyarakat,” jelasnya.