KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang pegawai badan berkanun Persekutuan yang dipercayai meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM22,000.
Menurut sumber wang berkenaan diminta daripada seorang pemilik syarikat sebagai dorongan supaya syarikat itu diberikan kerja-kerja berkaitan pembersihan tanah.
Suspek lelaki berusia 33 tahun yang sebelum ini pernah bertugas di sebuah daerah di Sabah ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu Sabah pada jam 12.30 tengahari hari ini.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Karunanithy berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam tempoh terdekat. – BERNAMA