HomeMV+EksklusifSwastakan aset produksi FINAS, elak jadi gajah putih

Swastakan aset produksi FINAS, elak jadi gajah putih

AMPANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) disyorkan untuk mempertimbangkan cadangan menswastakan kemudahan peralatan produksi.

Pelakon, penulis skrip dan pengarah filem, Abd Rahman Mohd Daud atau dikenali sebagai Armoda mengemukakan cadangan itu bertujuan bagi mengelakkan wujud kemudahan terbengkalai yang akhirnya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan.

“Saya mencadangkan kepada pengerusi FINAS supaya menswastakan segala ‘equiment’ (aset produksi) supaya tidak menjadi gajah putih (terbengkalai), yang tidak mendatangkan hasil kepada kerajaan.

“Perkara ini akan dikemukakan menerusi kertas cadangan kepada pihak FINAS untuk dipertimbangkan,” kata ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) itu kepada MEDIA VARIASI ketika ditemui di Bangunan Utama FINAS, Hulu Kelang, di sini.

Pengarah Urusan Audio Masters Sdn Bhd itu hadir bersama penaungnya, Omar Mohammad Unni, atas jemputan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa bagi membincangkan kerjasama kedua-dua pihak.

Armoda berkata, beliau yang berpengalaman menjaga dan mengendalikan peralatan produksi berkenaan bagi puluhan drama dan sebahagian filem itu mahu pihak kerajaan mengambil perhatian terhadap barangan berkenaan.

“Semoga pihak kerajaan mengambil berat tentang penjagaan (aset). Kasihan dengan peralatan tersebut.

“Kalaulah ia bernyawa, barangan peralatan itu seperti tak pernah dipedulikan,” katanya yang sangat berminat dalam bidang pengendalian aset produksi.

Armoda pernah menjayakan filem epik Pahlawan Dayak: Rentap dan KL Zombi malah meneraju watak utama dalam drama Namaku Bukan Setsuko satu ketika dahulu.

FINAS sebelum ini melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Md Nasir Ibrahim dilaporkan berkata, menaiktaraf peralatan studio dan menggantikannya dengan baharu supaya suntingan filem berkualiti tinggi.

Md Nasir malah berkata FINAS turut memohon dana kepada Unit Perancang Ekonomi kerajaan, bagi mewujudkan studio XR3D bagi membolehkan penerbitan menggunakan teknologi tiga dimensi (3D).

Media sebelum ini melaporkan, timbul isu berkaitan aset milik FINAS dikatakan sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai untuk tujuan penerbitan filem.

Terdapat juga khabar angin menyatakan industri perfileman negara masih jauh ketinggalan dan tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Author

Pilihan Editor