HomeNiagaUptown Gerbang Batang Kali kembali bercahaya

Uptown Gerbang Batang Kali kembali bercahaya

BATANG KALI: Ibarat mentari terbit selepas cuaca mendung, begitulah usaha mencari nafkah di kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Sama seperti di mana-mana kawasan, usahawan kecil dan sederhana di Batang Kali turut terkesan tsunami ekonomi akibat dua tahun pandemik.

Limpahan cahaya di Uptown Gerbang Batang Kali menarik pengunjung ke sana.

Tinjauan ekonomi rakyat MEDIA VARIASI di Bandar Baru Batang Kali mendapati ada cahaya kembali bersinar di mata rakyat yang suram sebelum ini.

Seramai 32 peniaga kecil-kecilan mempertaruhkan nasib mereka di bandar kecil ini sejak tiga minggu lalu apabila Uptown Gerbang Batang Kali mula dibuka setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk orang ramai.

Menjengah ke lubuk rezeki penduduk di Hulu Selangor ini hati berasa ‘wow’ melihat bagaimana susun atur khemah, dengan limpahan cahaya lampu ibarat cahaya di malam raya.

Pelbagai pilihan untuk pelanggan dengan harga murah di Uptown Gerbang Batang Kali

Penganjur Uptown Gerbang Batang Kali yang mahu dikenali sebagai Awie berkata, peniaga akan mula masuk selepas Asar, membuka khemah, menyusun atur barang jualan mereka.

“Para peniaga dari kawasan setempat sehingga Bukit Sentosa Hulu Selangor akan berniaga di sini sehingga jam 12 tengah malam.

“Waktu kemuncak dengan pengunjung adalah dari jam 8 malam hingga jam 11 malam.

“Kemudahan seperti tempat letak kereta yang luas, kedai makan, tandas, surau, bukan sahaja memudahkan pengunjung tetapi juga peniaga

“Biasanya pelancong yang ke Genting Highlands, mereka akan singgah di sini sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

“Kita boleh lihat hotel bajet dan rumah inap desa (homestay) semua penuh setiap kali hujung minggu membuktikan lokasi ini tumpuan pelancongan dan ekonomi.

“Cabaran sebagai peniaga peringkat permulaan memang agak sukar, mana-mana tempat pun tetapi setelah ia bergerak dan dikenali, rezeki akan datang sendiri,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Nora

Dalam pada itu, seorang peniaga dikenali Nora berkata, dengan fasiliti yang ada uptown sudah berubah wajah.

“Ia dapat bantu peniaga yang sebelum ini susah, ramai terkesan tetapi kini sudah boleh bernafas semula.

“Bagi peniaga kami berharapkan sokongan dari pihak majlis untuk bersama merancakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Namun yang menjadi kebimbangan rata-rata peniaga di sini adalah jika Majlis Daerah Hulu Selangor menaikkan sewa permit kerana ia akan memberi cabaran kepada usahawan kecil dan sederhana.

Ini kerana kadang-kadang hari hujan dan pengunjung berkurang sedikit daripada biasa.

Semoga hujan yang turun bukan hanya membersihkan kekotoran tetapi tetap memberikan rezeki kepada penghuni di atas muka buminya.

Author

Pilihan Editor