HomeBeritaPolitikAdun Bandau sah sertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat

Adun Bandau sah sertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat

KOTA KINABALU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony malam ini mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau Datuk Wetrom Bahanda, telah menyertai parti itu.

Peter berkata, dalam perlembagaan parti itu terdapat satu kekosongan bagi jawatan Timbalan Presiden mewakili masyarakat Bumiputera muslim, dan beliau turut mengumumkan Wetrom mengisi jawatan tersebut.

“Kita sangat mengalu-alukan Wetrom dan kita berterima kasih kerana beliau memilih untuk berjuang bersama dalam PKDM,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam PKDM di sini malam ini.

Sementara itu, Wetrom berkata keputusan menyertai PKDM dibuat setelah berbincang dan mendapat maklum balas daripada penyokongnya di peringkat akar umbi.

“Setelah meninggalkan Bersatu saya telah berjumpa dengan penyokong dan mereka telah menyatakan bahawa PKDM adalah parti tempatan yang paling sesuai untuk meneruskan perjuangan kami ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 lepas, Wetrom yang mewakili Bersatu menang dengan majoriti 3,363 undi, sebelum dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dalam kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Barisan Nasional.

PKDM merupakan sebuah parti yang menyokong GRS kini mempunyai tiga ADUN di Dewan Undangan Negeri Sabah iaitu Peter (Melalap), Wetrom (Bandau) dan Datuk Juil Nuatim (Limbahau) yang juga seorang lagi Timbalan Presiden parti itu.

GRS dan BN sehingga kini mentadbir kerajaan Sabah dengan sokongan 53 ADUN, berbanding pembangkang 25 ADUN. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor