HomeBeritaAgong tidak akan tergesa-gesa bubar Parlimen, ambil kira kepentingan negara

Agong tidak akan tergesa-gesa bubar Parlimen, ambil kira kepentingan negara

CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengambil kira semua faktor yang melibatkan kepentingan negara sebelum membubarkan Parlimen untuk memberi laluan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selaras dengan kuasa baginda mengikut peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir berkata, Agong selaku Ketua Negara akan memikirkan dan prihatin nasib rakyat yang kini dalam persediaan menghadapi musim tengkujuh sebagai input yang berguna melalui data dan maklumat yang tepat sebelum sebarang keputusan dibuat untuk pembubaran Parlimen.

“Saya fikir baginda sebagai seorang raja yang arif dan prihatin terhadap nasib rakyat, ini akan menjadi faktor dan input berguna sebelum baginda bersetuju untuk bubarkan Parlimen.

“Ini kerana sekiranya sebarang keputusan yang akan dibuat oleh baginda berdasarkan data dan maklumat yang tepat. Apa-apa keputusan akan memberi kesan kepada baginda juga.

“Sebagai contoh baginda telah menghadiri sesi taklimat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Kementerian berkaitan terhadap persediaan menghadapi banjir sebentar tadi. Ini satu langkah yang tepat, baginda akan membuat keputusan tepat berdasarkan fakta, maklum balas dan data agensi terbabit untuk membuat keputusan penting seperti pembubaran Parlimen,” ujarnya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri juga mempunyai kuasa prerogatif (eksekutif) selaku Ketua Kerajaan bagi menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen dengan mengambil kira kepentingan yang memihak kepada parti politik yang diwakili selaku parti pemerintah dalam kerajaan terkini.

“Menjadi prerogatif Perdana Menteri untuk memilih masa yang beliau fikirkan untuk menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen. Selagi PM melihat pembubaran Parlimen itu akan memberi kelebihan kepada parti politiknya pada keadaan landskap politik sekarang ini.

“Sebagai contoh, pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sewaktu era Barisan Nasional itu sendiri tidak pernah memikirkan parti-parti politik lain dalam mempertimbangkan tempoh masa untuk mengadakan pilihan raya.

“Mengikut sejarah landskap politik negara, PRU hanya pernah diadakan sekali pada bulan November iaitu pada tahun 1999 dan tidak pernah diadakan pada bulan Disember dan awal tahun iaitu bulan Januari dan Februari. Ini jelas isyarat dari agensi kerajaan bahawa PRU tidak sesuai diadakan pada musim monsun kerana akan memberikan implikasi besar,” katanya lagi.

Media hari ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di pekarangan Istana Negara pada pukul 3.48 petang untuk menghadap Agong.

Spekulasi kuat timbul Perdana Menteri akan menghadap Agong petang ini bagi menasihati Agong membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU15.

Author

Pilihan Editor