HomeBeritaBajet 2023: e-Pemula untuk belia naik kepada RM200, kerajaan tanggung bayaran lesen...

Bajet 2023: e-Pemula untuk belia naik kepada RM200, kerajaan tanggung bayaran lesen e-hailing MYPSV

 

KUALA LUMPUR: Seramai dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa berusia 21 tahun ke atas di negara ini bakal menerima manfaat program kredit e-dompet, e-Pemula yang akan dinaikkan jumlah kredit kepada RM200 tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata program itu diteruskan melibatkan peruntukan RM400 juta dan kenaikan daripada jumlah asal kredit RM150 adalah sebagai usaha penambahbaikan.

Selain itu, beliau berkata inisiatif penggajian di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut disediakan kepada majikan yang menggajikan beliau berumur 18 hingga 30 tahun yang mengganggur lebih tiga bulan

“Inisiataif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang mengambil graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bagi menggalakkan lebih ramai anak muda berniaga, sejumlah RM305 juta tersedia sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga), Mara (Majlis Amanah Rakyat), BSN (Bank Simpanan Nasional) dan Agrobank,” katanya.

Tambah beliau, dana RM50 juta disediakan menerusi BSN bagi Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia yang menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk 10,000 anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan trak makanan.

Bagi membantu belia B40 yang menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan e-hailing, Tengku Zafrul berkata kerajaan bersetuju menanggung bayaran lesen di bawah program MyPSV serta bayaran lesen memandu motosikal kelas B2.

“Bagi menggalakkan belia bekerja, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan dana RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang membantu belia mendapatkan pakej prabayar langganan pelan data Internet dengan RM30 bagi tempoh tiga bulan dilanjutkan hingga April 2023. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor