HomeBeritaBalai penghulu dijadikan pangkalan hadapan ketika banjir - Amirudin

Balai penghulu dijadikan pangkalan hadapan ketika banjir – Amirudin

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menggunakan balai penghulu dan aset-aset negeri untuk dijadikan pangkalan hadapan sebagai langkah menghadapi banjir yang berkemungkinan berlaku di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bertujuan agar pergerakan aset-aset pasukan penyelamat tidak terlalu jauh selain mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat sekiranya berlaku bencana banjir.

“Kita mengenal pasti balai penghulu serta aset kerajaan negeri yang boleh dijadikan pangkalan hadapan.

“Pangkalan itu nanti akan turut menempatkan agensi dan badan-badan lain yang akan berkhidmat untuk proses menyelamat bagi sebarang kemungkinan bencana dalam lokaliti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menghadapi Monsun Timur Laut di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai projek tebatan banjir yang hanya akan bermula pada Januari tahun depan, sedangkan terdapat risiko banjir berlaku pada penghujung tahun ini, Amirudin berkata ia melibatkan kos yang besar dan perlu melalui proses yang ditetapkan.

“Projek-projek yang melibatkan Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM4.6 bilion itu pun bermula pada Januari. Ada proses yang kita perlu laksanakan, sebahagiannya telah kita mulakan awal, misalnya bagi pembelian pam.

“Ia melibatkan kerja-kerja pengorekkan, pembuatan ban dengan sebahagainya mengambil masa untuk kita laksanakan, kita memang telah ‘push’ untuk awalkan. Sebelum ini kita sudah mula sebahagiannya terutamanya untuk meningkat longkang dan beberapa perkara lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, mulai esok seramai 40 Sukarelawan Selangor (SERVE) terdiri daripada belia berusia 18 tahun ke atas akan dilatih selamat empat hari oleh Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) sebagai persediaan menghadapi banjir.

“Latihan untuk sukarelawan SERVE ini untuk mengenal pasti risiko air banjir yang berarus dan sebagainya selain mereka juga akan jalani latihan ‘asas’ bantuan pernafasan awal jika berlaku kelemasan.

“Sukarelawan ini akan bersama kita atau jika berlaku banjir di kawasan mereka, mereka boleh bertindak awal untuk membantu proses pemindahan dan penyelamatan mangsa,” katanya menambah sebanyak 72 bot penyelamat akan disediakan di kawasan Selangor ketika bencana. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor