CYBERJAYA: Seorang bayi berusia satu tahun berjaya mencipta sejarah sebagai orang termuda di dunia yang menawan kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal.
Bayi perempuan bernama Akshra Ragavendra itu dibawa kesana oleh ibu dan bapanya iaitu Ragavendra Gopalakrishnan, 32, dan Sheena Prasannan, 32, bagi meraikan hari lahirnya yang pertama pada Julai lalu.
“Saya dan suami saya gemar mendaki, dan anak perempuan kami telah mendaki bersama kami sejak dia berusia tiga minggu. Kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza untuk hari lahirnya,” kata Sheena seperti dilapor The Star pada Selasa.
Tambahnya lagi, dia dan suaminya mahu memberi pengalaman dan pencapaian yang menarik buat anaknya itu.
Mengulas lanjut berhubung latihan sebelum mendaki ABC, Sheena memaklumkan dia sekeluarga menjalani latihan selama lima minggu di Denai Kembara Bukit Padang yang terletak di Taman Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.
“Sebelum pendakian, latihan kami juga terdiri daripada pendakian altitud tinggi di Bukit Maragang di Kundasang dan denai Liwagu dan Bundu Tuhan di Taman Kinabalu,” kata Sheena, yang telah mendaki banyak gunung, termasuk Gunung Kinabalu di Sabah, Gunung Batur di Bali, Montserrat di Sepanyol dan Taman Negara Fiordland di New Zealand.
Menurutnya, perkara tersebut dilaksanakan bagi memastikan tahap stamina keluarga kecil itu sentiasa dalam keadaan yang sihat dan cergas.
Pada masa sama, Sheena turut berkongsi pengalamannya mendaki bersama suami dan anaknya dimana dia perlu menggunakan pengangkut bayi (baby hiking carrier) seberat 2 kilogram(kg) untuk membawa anaknya yang ketika itu seberat 8kg.
“Kami bergilir-gilir membawanya sambil mendaki lebih 2,000 anak tangga kerana kami perlu bekerja pada kelajuan, stamina dan latihan otot,” jelas Sheena.
Pasangan itu memulakan pendakian mereka pada 21 Julai dan tiba di tapak perkhemahan yang berketinggian 4,130 meter itu pada 23 Julai.
“Kebiasaannya, laluan ini mengambil masa antara lapan hingga 10 hari. Walau bagaimanapun, kami mendaki lebih lama kerana kami ingin mencapai puncak pada hari lahirnya pada 23 Julai.
“Syukurlah, anak perempuan kami tidak menghidap penyakit ketinggian. Naluri keibuan saya memberitahu saya dia akan baik-baik saja. Akshra berjaya menyesuaikan diri dengan baik di ABC,” ujarnya.
Pasangan itu tidak mengetahui bahawa Akshra akan menjadi orang termuda di dunia yang mencapai ABC sehingga mereka memohon permit mendaki mereka di Kathmandu.
“Seorang pegawai memberitahu kami bahawa Akshra akan menjadi yang paling muda jika dia berjaya. Itu menjadi motivasi untuk kami. Sepanjang perjalanan, penduduk kampung sangat menyokong, kerana mereka tidak pernah melihat bayi di denai.
“Ramai pejalan kaki terkejut apabila mereka mendapat tahu kami mempunyai bayi di belakang, menyangka ia hanyalah sebuah beg galas,” kongsi Sheena.
Meskipun perlu berdepan dengan pelbagai kesukaran, pasangan itu tekad untuk menyahut cabaran kerana percaya bahawa setiap cabaran pasti membuatkan mereka lebih kuat sebagai pasangan suami isteri.
Tambah Sheena, selain daripada barangan keperluan, pasangan itu turut membawa barangan Akshra seperti biskut bayi, lampin, pakaian hangat, kain lap basah, mainan kecilnya berserta pengangkut bayi seberat 15kg.
“Saya masih menyusukan anak perempuan saya, jadi itu antara faktor memudahkan kami mendaki ABC dengan Akshra. Tidak ada keperluan untuk membawa air dan susu formula, yang membantu meringankan beban kami,” katanya.
Sheena mengakui bahawa pendakian bersama seorang bayi bukanlah suatu hal yang mudah kerana bagasi menjadi lebih berat dan tidur tentunya tidak cukup namun, ia merupakan satu pengalaman yang amat bernilai.
“jika anda suka aktiviti luar dan mahu anak kecil anda melihat perkara baharu buat kali pertama, anda mungkin mendapati semua itu lebih bermakna melebihi perkara yang kompleks.
“Ia merupakan pengalaman yang tidak ternilai bagi kami. ABC sentiasa menjadi impian, tetapi saya tidak pernah terfikir akan melakukannya dengan bayi saya,” tambah Sheena.