HomeBeritaBN dijangka menang besar - Dr Ramalan

BN dijangka menang besar – Dr Ramalan

KUALA LUMPUR: Lebih banyak penjuru, lebih besar potensi kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini jangkaan oleh Datuk Dr Ramalan Yunus, seorang penganalisis politik dan ekonomi bebas.

Katanya, ada beberapa senario mungkin akan berlaku pada PRU15 yang membolehkan BN menang besar disebabkan kerjasama beberapa parti bertembung lawan penjuru.

“Senario pertama membabitkan pertandingan empat penjuru (BN vs DAP/PAS/PKR/Bersatu).

“BN akan menang besar dan menguasai majoriti kerusi di Semenanjung Malaysia Barat, menubuhkan kerajaan bersama GPS dari Sarawak dan parti dari Sabah.

“DAP mungkin dapat mengekalkan kerusi mereka namun tidak PKR.

“PKR akan kehilangan lebih 50 peratus kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14.

“PAS juga akan merosot sehingga 50 peratus manakala Bersatu dan parti kecil lain tidak akan mampu bertahan pada PRU ini.

“Seterusnya tiga penjuru (BN vs PH+GTA vs PN), BN juga menang besar dan mudah, sekali gus pasti menubuhkan kerajaan bersama rakan dari Borneo.

“Begitu juga, dua penjuru (BN vs PH+GTA+PN),” katanya menerusi kenyataannya di sini.

Beliau menjelaskan, kerjasama beberapa parti itu menunjukkan bahawa mereka parti tidak saling mempercayai antara satu sama lain, sebaliknya ia hanya memberi nilai tambah kepada BN.

“Kerjasama mereka bukan untuk kepentingan, kesejahteraan rakyat dan negara ini. Mereka ini tidak akan bertahan lama.

“Mereka sudah pasti akan bergaduh sesama sendiri lagi kerana berebut jawatan dan projek.

Katanya, BN akan memastikan ‘dosa’ (kejatuhan) PRU tidak akan berulang lagi kerana rakyat di luar bandar dan di kampung sudah serik dengan pentadbiran pemimpin dan penyokong PH.

“Keadaan pada PRU14 tidak akan berulang lagi. Ini kerana rakyat sudah sedar dengan pembohongan dan janji-janji palsu mereka,” katanya.

Beliau juga berpendirian untuk membantu dalam kempen Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO/BN.

Ini kerana beliau turut meramalkan bahawa Ahmad Zahid dan UMNO/BN akan meraih kemenangan, dan dengan sokongan semua pihak pasti dengan kemenangan yang cukup besar.

“Nota-nota saya memberikan asas-asas dan justifikasi terhadap keyakinan saya kepada DS Ahmad Zahid dan UMNO/BN.

“Perkembangan terbaharu apabila BN menawarkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) memberi nilai tambah baharu kepada BN.

“Tawaran tersebut pasti disambut baik oleh pengundi di Borneo iaitu di Sabah dan Sarawak kerana rakyat di sana sudah lama ingin melihat pemimpin dari Borneo menyandang jawatan tersebut,” katanya.

Justeru, beliau yakin dengan strategi UMNO/BN dan Ahmad Zahid yang mahu dan rindukan kestabilan dan kesejahteraan.

“Rakyat akan beri kemenangan yang besar kali ini kepada Ahmad Zahid dan UMNO/BN kerana rakyat nak tahu cerita sebenar 1MDB,” katanya.

Author

Pilihan Editor