HomeBeritaBuatkan kereta Axia hampir dirempuh treler, suspek 'road bully' ditangkap polis

Buatkan kereta Axia hampir dirempuh treler, suspek ‘road bully’ ditangkap polis

JOHOR BAHRU: Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berjaya mengesan menangkap suspek terlibat ‘road bully’ yang hampir membuatkan kereta mangsa dirempuh treler.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, satu rakaman yang tular mengenai sebuah kereta jenis Toyota Fortuner terlibat ‘road bully’ dikesan pada Jumaat.

Menurut beliau, kereta tersebut memandu secara melulu terhadap sebuah kereta jenis Perodua Axia sehingga mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain di Jalan Tebrau, Johor Bahru.

“Pihak polis IPD Johor Bahru Selatan mengesahkan pada Jumaat sekitar jam 8.33 malam telah menerima satu laporan polis daripada seorang perempuan warga tempatan di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Johor Bahru Selatan mengenai kejadian tersebut.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari BSPT IPD Johor Bahru Selatan telah mengesan pemilik kereta jenis Toyota Fortuner tersebut dan berjaya membuat tangkapan terhadap seorang perempuan warga tempatan berumur 40 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, siasatan polis mendapati suspek sengaja memberhentikan keretanya sehingga menyebabkan mangsa berhenti secara mengejut dan hampir dirempuh sebuah treler yang berada di belakang.

Pihak BSPT IPD Johor Bahru Selatan turut menyita kereta jenis Toyota Fortuner yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian tersebut.

“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan terhadap suspek juga negatif dari sebarang jenis dadah dan pengaruh alkohol. Suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu hasil siasatan lengkap.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu denda minimum RM5,000 tidak melebihi RM15,000 dan penjara wajib satu hari sehingga lima tahun,” katanya lagi.

Pihak polis IPD Johor Bahru Selatan turut menasihati semua pengguna jalan raya agar bertolak ansur dan bertimbang rasa di antara satu sama lain untuk mengelakkan daripada terjadinya perkara sedemikian.

Author

Pilihan Editor