HomeBeritaCabaran untuk dapatkan FYP bahan kempen di TikTok - Aizat Azam

Cabaran untuk dapatkan FYP bahan kempen di TikTok – Aizat Azam

KUALA LUMPUR: Parti politik seluruh negara bakal berdepan cabaran baharu iaitu untuk mendapatkan FYP (rekomendasi aplikasi) bagi setiap bahan kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bergantung kepada TikTok sebagai platform utama mereka.

EXCO Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam memberitahu, FYP berkenaan penting bagi memastikan mesej kempen sampai kepada rakyat.

“Kira-kira 60 peratus rakyat bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan informasi calon dan bahan kempen.

“Jika sebelum PRU14, kita tak ada Tiktok, kebergantungan pada Youtube tak banyak, kali ini Tiktok.

“Macam mana kaedah yang parti politik nak berkempen, menyampaikan informasi, nak dapatkan FYP itu satu cabaran baharu untuk semua parti politik,” katanya pada sidang media sesi ramah mesra bersama media di sini.

Tambahnya, media sosial memainkan peranan cukup besar pada kempen PRU15 berbanding beberapa siri pilihan raya mengikut tradisi biasa secara fizikal sebelum ini.

“Kalau kita tengok di media sosial, itulah bezanya PRU kali ini, selain daripada kempen fizikal, secara maya (media sosial) memainkan peranan cukup besar.

“Sebab kebergantungan pengundi sekarang untuk mengakses bahan kempen, akses calon dan sebarang informasi mengenai parti politik bertanding semuanya majoriti 60 peratus bergantung kepada atas maya.

“Ini cabaran baharu untuk semua parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) bagi melakukan strategi untuk memenangi kempen di media sosial,” katanya.

Aizat yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok itu turut mengakui ‘mood’ kempen pilihan raya sudah pun bermula secara tidak langsung, selepas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau hari ini ada bendera poster digantung kiri kanan jalan, itu bukan perkara pelik lagi.

“Semua parti politik juga sudah mula bekerja, kita di peringkat BN, di peringkat saya dah buka semua bilik gerakan, hari-hari ada pekerja parti.

“Maknanya hari ini kita tahu industri kreatif, kita tengok dunia berkembang,” katanya yang juga seorang peguam.

Author

Pilihan Editor