HomeBeritaEMGS, Tourism Malaysia meterai kerjasama tingkatkan promosi pelancongan pendidikan

EMGS, Tourism Malaysia meterai kerjasama tingkatkan promosi pelancongan pendidikan

PUTRAJAYA: Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Tourism Malaysia memeterai memorandum kerjasama (MOC) bagi mengukuhkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pengajian pilihan pelancongan.

MOC yang menyasarkan pelajar antarabangsa serta pelancong dari seluruh dunia ini ditandatangani Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Mohd Radzlan Jalaludin pada Jumaat.

Majlis menandatangani MOC tersebut turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Zainuddin berkata, kerjasama ini mampu membantu merancakkan industri pelancongan negara mencapai sasaran ketibaan 9.2 juta pelancong dengan nilai pendapatan pelancongan sebanyak RM26.8 bilion menjelang hujung tahun ini.

“Usaha sama ini juga dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan menerusi segmen minat khas edutourism dan juga percutian oleh pelajar antarabangsa bersama keluarga mereka yang sekali gus dapat menjana pendapatan ekonomi kepada negara,” katanya.

Sementara itu, fokus utama EMGS, pada tahun ini adalah untuk mencapai sasaran 50,000 permohonan pelajar antarabangsa selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan kemasukan seramai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025.

Mohd Radzlan berkata, EMGS berbesar hati menjalinkan kerjasama strategik ini bersama Tourism Malaysia kerana mereka percaya sektor pelancongan dan pendidikan saling bersangkutan antara satu sama lain.

“Setakat September 2022, kita telah menerima lebih 38,000 permohonan daripada pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

“Kita dapati terdapat trend peningkatan melibatkan permohonan program mobiliti dalam kalangan pelajar antarabangsa, jadi itu menjadi salah satu fokus keutamaan EMGS,” katanya.

Untuk rekod, lima negara utama yang mencatatkan permohonan tertinggi untuk program mobiliti tersebut setakat September 2022 ialah Indonesia, Perancis, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

Kerjasama ini bertujuan memanfaatkan perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak dalam aspek komunikasi, penjenamaan, pengiklanan, acara, kempen, bahan pemasaraan dan promosi serta media dan perhubungan awam.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama mempromosikan penjenamaan ‘Study in Malaysia’ seiring dengan tagline ‘Malaysia Truly Asia’ yang digunakan di peringkat global.

Jalinan kerjasama ini juga akan membentuk sinergi dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan hab pendidikan pilihan bertaraf dunia terutamanya melalui program mobiliti dan kursus jangka pendek melibatkan pelajar antarabangsa.

Author

Pilihan Editor