HomeBeritaGaduh di pusat hiburan, lelaki Afrika mati dipercayai dibunuh, lapan ditahan polis

Gaduh di pusat hiburan, lelaki Afrika mati dipercayai dibunuh, lapan ditahan polis

WANGSA MAJU: Seorang lelaki Afrika maut selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tiga lelaki warga Afrika turut cedera dalam insiden pada awal pagi tadi setelah anggota polis di Balai Polis Pudu menerima maklumat pada pukul 5:35 pagi.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan salah seorang daripada tiga lelaki itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, mangsa bersama rakannya telah terlibat satu pergaduhan dengan satu kumpulan lelaki warga Afrika.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dengan kesan luka disebabkan tetakan di belakang,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Tambahnya, enam lelaki dan dua wanita warga asing yang berusia 26 hingga 40 tahun ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Wangsa Maju untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor