SUPERSTAR baru Manchester Ciy, Erling Haaland dilaporkan meraih gaji lumayan dari juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/2022 itu dengan jumlah hampir £900,000 (RM4.5 juta) seminggu.
Penyerang sensasi City itu, yang direkrut dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan sebanyak £51 juta meraih bayaran paling lumayan sekaligus pemain paling mahal dibayar di dalam liga EPL.
Menurut laporan media, beliau menerima gaji asas yang tertinggi seperti bintang berkelas dunia City yang lain namun Haaland turut menerima beberapa imbuhan lain termasuk bonus yang merekodkan pendapatan lain mencecah £900,000 seminggu.
Nilai bayaran terhadap beliau dilihat amat berbaloi setakat ini setelah penyerang berusia 22 tahun itu telah meledak 20 gol daripada 13 perlawanan dalam semua kejohanan dengan Haaland kini mendahului carta penjaring terbanyak di EPL dengan 15 gol.
Pembelian bintang dari Norway itu ternyata menguatkan lagi jentera serangan City yang telah menewaskan beberapa saingan dari kelab-kelab besar Eropah lain memburu Haaland pada musim jendela perpindahan lalu.
Haaland kini dilihat sebagai mesin pencetak gol baru City terus mengekalkan momentumnya dengan menjaring satu gol ketika membantu City menewaskan Southampton 4-0 dalam perlawanan di Stadium Etihad, pada malam tadi.
Rekod jaringan tertinggi dalam musim sebanyak 34 gol dipegang oleh bekas penyerang, Newcastle United, Alan Shearer dan Manchester United, Andrew Cole dijangka mampu dipecahkan Haaland pada musim ini.