KUALA LUMPUR: Penubuhan Gagasan Bangsa (GB) memilih Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai platform mengangkat suara rakyat.
GB adalah gabungan pemimpin Melayu daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Wakil Jawatankuasa Pemandu GB yang juga Ketua Penerangan GTA, Datuk Nizam Mahshar berkata, suara rakyat tidak dapat disampaikan dengan sempurna sebelum ini, malah terhenti sekerat jalan meskipun NGO sudah banyak bersuara melalui kerjasama dengan parti-parti politik dalam negara.
Bagaimanapun, GB diberi peluang untuk menyuarakan hak rakyat melalui GTA kerana menjadi satu-satunya parti politik yang membuka platform itu.
“Objektif GB ditubuhkan untuk menjadi satu suara rakyat yang kuat dalam memastikan semua isu dinyatakan dapat dibaiki dan direalisasikan.
“Empat parti komponen GTA (Berjasa, Pejuang, Putra, Iman) lebih terbuka dan sedia beri ruang luas kepada perjuangan NGO.
“Maka GB, melalui wakil individu kami, telah memilih untuk bekerjasama dengan keempat parti ini sebagai komponen pengasas NGO kepada GTA untuk menghadapi pilihan raya umum nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran penubuhan GB sebagai komponen NGO utama GTA, di Wisma Melayu, di sini.

Turut hadir, wakil jurucakap GB lain antaranya, Aminuddin Yahaya, Prof Ahmad Murad Mohd Noor Merican, Ahmad Zakie Ahmad Shariff dan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Nizam berkata, keterlibatan GB dalam GTA juga bukan sebagai ‘passenger’ atau ‘yes man’ semata-mata tetapi terlibat dalam menentukan hala tuju GTA.
Sementara itu, Aminuddin berkata fokus GB adalah perjuangan NGO dalam skop lebih besar dan luas.
“Sepanjang pengalaman menyertai bidang NGO selama 25 tahun, kita sudah hantar macam-macam memorandum tetapi tidak diberi perhatian melalui kerjasama parti politik.
“Dengan penyertaan GB sebagai komponen NGO GTA, bukan sahaja boleh memperjuangkan isu agama tetapi seni, alam sekitar, akademik, macam-macam lagi.
“Perlu diingatkan, GB bukan parti tapi terlibat dalam isu politik kerana suara rakyat diangkat dan diambil sebagai satu dasar negara,” katanya yang menjelaskan sebab penyertaan selepas meletakkan jawatan sebagai mantan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), baru-baru ini.