HomeBeritaJemaah terkandas: Kerajaan urus kepulangan, Afiz Ayub sedia pulangkan sumbangan

Jemaah terkandas: Kerajaan urus kepulangan, Afiz Ayub sedia pulangkan sumbangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjanji akan menguruskan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Menerusi kenyataan bersama, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, tiada keperluan kutipan dana awam dilakukan kerana kerajaan sudah mengumumkan kesanggupan untuk menanggung kos penghantaran mereka.

Dalam pada itu, aktivis, Afiz Ayub pula berkata, kerajaan mengambil masa lama untuk keluarkan kenyataan media menyatakan keputusan mereka.

“Dari bulan Jun tiada kenyataan keluar, saya sudah tiba di Jeddah sejak semalam dengan bawa duit orang ramai dan sudah berunding dengan penguat kuasa sini tiba-tiba keluar kenyataan kata kerajaan ambil alih pula.

“Buang masa saya sebenarnya kalau macam ni… Kita nak buat kerja Allah ni, empat bulan sebelum ni tak ada pula nak sungguh bawa balik.

“Menteri sudah hubungi saya tetapi mereka belum mula tindakan… nanti berbincang dengan menteri… jika semua ditanggung… sumbangan akan dipulangkan, saya akan keluarkan kenyataan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Aktivis ini mendakwa ada dihubungi keluarga mangsa yang meminta bantuannya sebelum melancarkan ‘crowdfunding’ sejak kelmarin.

Bagaimanapun beliau tiada nombor keluarga mangsa ketika diminta wartawan.

Afis sebelum ini mengeluarkan kenyataan memerlukan dana awam RM70,000 untuk kos tiket dan RM414,000 bagi kos bayaran tinggal lebih masa di Arab Saudi.

Semalam, Kementerian Luar Negeri mengesahkan seramai 63 rakyat Malaysia dibawa kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah, terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Terdahulu, MEDIA VARIASI mendapat maklumat eksklusif mengenai nasib rakyat yang terkandas selepas diperdaya dengan berita kemunculan Imam Mahadi di padang Arafah.

Rombongan itu diuruskan oleh pemimpin tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Kholidiah, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad.

Masalah mereka timbul selepas Habib Shah Firdaus ditahan kerajaan Arab Saudi kerana amalan tarekat melanggar undang-undang negara itu serta dihantar pulang ke Malaysia.

Menerusi kenyataan bersama Kementerian Luar Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), mereka terdiri daripada 28 orang dewasa dan 35 orang kanak-kanak dibawa untuk mengerjakan umrah di Madinah.

Author

Pilihan Editor