HomeMV+EksklusifJKM selamatkan seorang remaja dari Madrasah Darussolihin

JKM selamatkan seorang remaja dari Madrasah Darussolihin

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Shaharuddin Abu Sohot mengesahkan pihaknya menyelamatkan seorang remaja dari Madrasah Darusolihin Jalan Kebun Shah Alam.

Beliau berkata, tindakan itu hasil siasatan JKM minggu lalu ke atas pusat berkenaan.

“Remaja itu berusia 15 tahun dan selepas JKM mengambil keterangan remaja berkenaan, dia telah dikeluarkan keluarganya dan dipindahkan ke institusi lain. Pemindahan itu juga atas pilihan keluarga.

“Remaja itu berada dalam keadaan baik. Jumlah keseluruhan penghuni tidak dapat dipastikan kerana ia tidak berdaftar sebagai rumah perlindungan.

“Hanya seorang itu sahaja kategori kanak-kanak iaitu bawah usia 18 tahun.

“Premis itu bukan lagi berfungsi sebagai rumah pelindungan kanak- kanak kerana tiada lagi kanak-kanak di sana,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan tidak meluluskan atau akan menerima pendaftaran Madrasah Darussolihin di Jalan Kebun, Shah Alam yang menjalankan pusat pemulihan yang tidak diwartakan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilapor berkata, keputusan itu berikutan premis berkenaan bukan berfungsi sebagai sekolah yang perlu mematuhi silibus dan kurikulum pendidikan Islam di Selangor.

Sebaliknya, katanya ia berfungsi dan beroperasi sebagai pusat pemulihan yang seharusnya diambil perhatian oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya Madrasah Darussolihin pusat perlindungan bukan sekolah, tidak berdaftar dan tidak dibenarkan berdaftar kerana tidak ikut modul JAIS.

Bagaimanapun pada masa yang sama tidak ada undang-undang yang boleh menghalang menggunakan nama madrasah.

Sementara itu, turut difahamkan beberapa ibu bapa telah mengeluarkan anak-anak mereka daripada premis itu sejak beberapa minggu lalu.

Author

Pilihan Editor