HomeBeritaKerajaan setuju struktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya, kurangkan kadar tol...

Kerajaan setuju struktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya, kurangkan kadar tol – PM

 

 

SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pengurangan kadar tol itu melibatkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), yang akan berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam, 20 Okt ini.

Sementara itu, pengurangan kadar tol bagi Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

“Kesemua kerja-kerja penambahbaikan yang telah saya maklumkan sebentar tadi, mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.

“Melalui penstrukturan terbaharu ini, kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat. Pengguna lebuh raya pula bakal menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di sini hari ini.

Authors

Pilihan Editor