HomeBeritaPolitikKestabilan dan kemakmuran, tema manifesto PRU15 BN

Kestabilan dan kemakmuran, tema manifesto PRU15 BN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk menggunakan tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ sebagai manifesto parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu ditetapkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Selasa.

Menurut beliau, ahli mesyuarat mengarahkan persiapan seluruh jentera parti bagi menghadapi PRU15 di peringkat Parlimen dan DUN komponen BN.

“Dewan Tertinggi bersetuju tema utama manifesto bagi PRU15 ialah ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

“BN komited memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran polisi-polisi bersifat pro-rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian BN turut diarahkan untuk menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera PRU15.

Selain itu, perundingan pembahagian kerusi antara Parti Komponen dan Friends of BN akan dimuktamadkan.

“Dewan Tertinggi bersetuju dengan usaha-usaha untuk mengetengahkan calon-calon baharu yang mempunyai nilai ‘Winnable, Acceptable and Likeable (WALI)’ dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon Wanita,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor