HomeGlobalKubah Masjid Jakarta Islamic Centre musnah dijilat api

Kubah Masjid Jakarta Islamic Centre musnah dijilat api

 

JAKARTA: Sebuah kubah musnah dijilat api apabila berlaku kebakaran di Masjid Jakarta Islamic Centre, Koja pada petang semalam.

Ketua Risikan dan Keselamatan AKBP Polis Metro Jakarta Utara, Slamet Wibisono berkata, kebakaran itu tercetus di tingkat tiga bangunan yakni bahagian kubah masjid dan pada ketika beberapa orang pekerja bangunan sedang merenovasi kubah berkenaan.

“Pekerja PT Dwi Agung Sentosa Pratama sedang mengubah suai bumbung kubah Masjid Pusat Islam. Pengubahsuaian menggunakan papan lapis.

“Ketika ingin memasang papan lapis di atas masjid, pekerja binaan mencairkan selaput tersebut menggunakan sejenis alat bakar.

“Semasa melakukan kerja, percikan api muncul dari alat bakar itu lantas menyebabkan kebakaran yang cukup besar,” katanya seperti dilapor Kompas.com pada Rabu.

Tambah beliau, saksi yang berada di lokasi cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam namun keadaan menjadi lebih parah apabila api mara di seluruh kubah masjid itu.

Sementara itu, Ketua Sub Bahagian Penerangan dan Komunikasi Pusat Islam Jakarta, Paimun Karim berkata, penduduk yang berada di dalam masjid sempat bergegas keluar sewaktu kejadian.

Bagaimanapun, kubah masjid tersebuh runtuh ditelan api yang membara terlalu lama.

“Kira-kira sejam selepas kebakaran berlaku, kubah masjid yang dibina di bekas lokalisasi Kramat Tunggak runtuh.

“Berdasarkan video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial, dapat dilihat kubah itu mula runtuh selepas hampir separuh daripada kubah itu terbakar,” lapor CNN Indonesia hari ini.

Author

Pilihan Editor