HomeBeritaMajlis MUDA di Muar diganggu lagi, kali ini dibaling mercun, botol

Majlis MUDA di Muar diganggu lagi, kali ini dibaling mercun, botol

MUAR: Majlis Parti MUDA yang diadakan di MUAR menerima provokasi sekali lagi tetapi kali ini sehingga dibaling mercun oleh sekumpulan pemuda yang menyembunyikan identiti mereka.

Menerusi perkongsian di Twitter, ramai ahli MUDA termasuk Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsikan hantaran video dan gambar kejadian yang berlaku pada Malam Mesra Muo di Bangunan Yong Sheng Banquet Hall pada malam semalam.

“Saya adakan majlis makan malam sahaja. Kenapa perlu ada provokasi lagi? Bukan saya buat apa-apa pun. Bila ahli MUDA tanya, ‘datang dari mana?’, mereka mula mengganas.

“Baling botol, baling mercun, rosakkan kereta tetamu. Terima kasih banyak-banyak abang Polis Diraja Malaysia (PDRM) tolong,” kata Syed Saddiq di Twitternya.

Video yang dikongsikan menunjukkan kumpulan provokasi tersebut membaling botol dan mercun ke arah kawasan majlis tersebut serta merosakkan kereta tetamu majlis.

Menurut MUDA, walaupun kesemua daripada kumpulan tersebut memakai pelitup muka, MUDA sempat merakamkan gambar mereka dan nombor plat kenderaan yang dinaiki mereka.

MUDA juga mengesahkan telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan menyerahkan segala bukti terkumpul kepada pihak polis.

“Hentikan budaya provokasi ini. Lagi kami ditekan, lagi kami melawan! Kami di sini untuk membina Malaysia yang bersatu dan makmur untuk semua,” tegas Syed Saddiq lagi.

Author

Pilihan Editor