HomeBeritaMayat nelayan lemas ditemukan di Pulau Jerejak

Mayat nelayan lemas ditemukan di Pulau Jerejak

 

GEORGE TOWN: Mayat seorang nelayan ditemukan terdampar di pantai Pulau Jerejak, dekat sini semalam selepas dilaporkan hilang, dipercayai terjatuh dari botnya ketika menangkap ikan di kawasan perairan Jelutong, di sini pada Sabtu lepas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat Mohd Shahrul Mansor, 37, ditemukan oleh orang awam pada 12.45 tengah hari semalam sebelum memaklumkan kepada pihaknya melalui melalui MERS 999.

“Mangsa yang beralamat di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dekat sini dipercayai terjatuh dari sampan di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan.

“Dipercayai, ketika kejadian cuaca buruk dan ia berdasarkan laporan polis yang diterima oleh Balai Polis Jelutong. Mayat mangsa lelaki yang ditemukan lengkap berpakaian, dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk namun jika keadaan mendesak mereka perlu mengutamakan keselamatan iaitu sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor