HomeBeritaMayat wanita ditemukan dipercayai dibunuh, polis minta orang awam tampil bantu siasatan

Mayat wanita ditemukan dipercayai dibunuh, polis minta orang awam tampil bantu siasatan

IPOH: Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh meminta orang ramai tampil membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita reput di dalam kawasan semak berhampiran lampu isyarat Jalan Besar Tambun pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada Rabu jam 7 petang.

“Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian si mati adalah akibat dicekik (manual strangulation). Sehubungan dengan itu, kes ini telah diklasifikasi semula kepada bunuh dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut di mana siasatan identiti mangsa dipercayai seorang perempuan India berumur 23 tahun berdasarkan lambang tatu di lengan dan jari tangan, manakala telefon bimbit yang dijumpai di tempat kejadian juga disahkan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Asistan Superintenden Chua Sze Yuan, iaitu Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Ipoh di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.

Pilihan Editor