SETIAWANGSA: MySetiawangsa mendekati rakyat Parlimen Setiawangsa dengan pelbagai program dan terbaharu, program Petrol Percuma kini memasuki siri kelima (5.0) di Stesen Minyak Petron Sri Rampai.
Program bantuan kerjasama anjuran Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa) sebagai inisiatif membantu komuniti setempat yang terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini.
Lebih 600 penunggang motosikal terutama penghantar makanan, p-hailing dan petugas barisan hadapan menerima sumbangan bahan api itu dengan peruntukan lebih RM5,000.
Presiden MySetiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, beliau berkesempatan menerima maklum balas rakyat mengenai bantuan berkenaan daripada yang mereka memerlukan pada program terbabit.
“Pemberian minyak secara percuma ini amat dihargai oleh golongan penerima.
“Saya sempat menemubual seorang penunggang, memaklumkan minyak yang diisi itu mampu memberi penjimatan selama tiga hari untuk menghantar anak ke sekolah, dan ini memberi kelegaan pada kami,” katanya kepada pemberita, di sini.
Yang turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Datuk Sri Izudin Ishak selain pelakon seperti Putra Amaris, Puteri Sarah Liyana, Tam Suhaimi.
Mohd Irwan Rizal yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa berkata, kehebatan bantuan kecil bukan terletak pada jumlahnya tetapi kesannya buat mereka yang terkesan khususnya ketika negara baru bangkit daripada COVID-19.
“Bantuan tidak akan diberikan secara one-off kerana MySetiawangsa akan terus membantu warga Setiawangsa dalam pelbagai konteks dari semasa ke semasa,” katanya.