KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan FC (NSFC) meneruskan misi memburu tiga tempat teratas saingan Liga Super 2022 selepas mendapat rentak kemenangan dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC, 4-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, malam tadi.
Kemenangan ke-11 oleh skuad Hobin Jang Hobin itu merapatkan jurang dengan ketinggalan satu mata dengan Sabah di tangga kedua dan sama mata dengan Terengganu FC (TFC) di tempat ketiga dengan perbezaan jaringan.
Pada aksi babak pertama, NFSC bermula garang dengan melakukan beberapa aksi serangan balas seawal minit pembukaan sehingga menyekat ketangkasan barisan pertahanan Kedah menerjah masuk ke kubu tuan rumah.
Pasukan kendalian K, Devan kemudian berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi penyerang import kelahiran Brazil, Alves Leandro Matheus selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan Yashir Pinto.
Jaringan terbabit bagaimanapun tidak mematahkan semangat skuad Kedah yang menyamakan kedudukan pada minit ke-45 menerusi pemain tengahnya, Mamoud Al Mardi, yang melakukan rembatan daripada luar kotak penalti, sekali gus menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Di babak kedua, skuad NSFC tidak menunggu lama untuk mencetak gol selepas pemain import Gustavo beraksi cemerlang dengan menyumbat dua gol pasukan pada minit ke-58 dan ke-70 yang diselang gol Sean Selvaraj pada minit ke-66.
NSFC kemudian dihimpit kecemasan apabila Kedah berhasil merapatkan jurang selepas Sanrawat Dechmitr dan Marc Vales mencetak gol kedua dan ketiga pada minit ke-83 dan 90.
Kedudukan kekal 4-3 itu memberi kelebihan kepada NSFC memperoleh tiga mata untuk kekal di tangga keempat liga sebelum membuat perhitungan dengan Melaka United pada Selasa ini. – BERNAMA