CYBERJAYA: Pakatan Harapan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH melalui pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Menurut Anwar, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor banjir besar yang akan mendatangkan kesusahan kepada rakyat sekiranya PRU diadakan pada musim banjir.
Oleh itu, Majlis Presiden PH membuat ketetapan tiga negeri terbabit agar pembubaran DUN masing-masing hanya akan dilakukan pada tahun hadapan.
“Majlis Presiden mengambil maklum laporan Jabatan Metereologi yang berkata bahawa fenomena La Nina dan monsun Timur Laut hingga ke awal tahun depan bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir di kebanyakan negeri.
“Majlis Presiden turut mengambil maklum bahawa Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutamakan nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda.
“Oleh itu, Majlis Presiden menerima pendirian Menteri-Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa Dewan-Dewan Undangan bagi negeri-negeri tersebut akan dibubarkan pada tahun 2023, pada satu tarikh yang akan diumum kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, media turut melaporkan Pakatan Harapan bersetuju untuk menggunakan logo baharu untuk kegunaan menghadapi PRU15.